Baru 4 tahun, Maleeq Dragster cipta sejarah juara RCS Championship Series Japan


Maleeq Dragster (tengah) memenangi trofi kejuaraan RCS Championship Series Japan musim ke-12 baru-baru ini.

BERJAYA mencipta sejarah, seorang pelumba cilik, Maleeq Dragster muncul sebagai anak Malaysia pertama yang berjaya membawa pulang trofi kejuaraan RCS Championship Series Japan musim ke-12 baru-baru ini.

Maleeq atau nama penuhnya, Wan Ayden Maleeq Wan Mohd Muzri berjaya menewaskan pelumba-pelumba dari negara lain meskipun baru berusia 4 tahun.

Antara pesaing yang pernah ditewaskan adalah pelumba berasal negara China, Jepun, Thailand dan banyak lagi di kejohanan yang berlangsung di Tokyo Summerland, Jepun.

WhatsApp Image 2023-11-30 at 2.30.36 PM

Maleeq mendapat sokongan keluarga untuk menjadi pelumba cilik yang berkebolehan.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Sri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, kejayaan Maleeq merupakan satu kebanggaan negara dan hasil latihan serta keringat anak muda itu tanpa henti.

“Syukur Alhamdulillah, semuanya dengan izin ALLAH. Kejayaan Maleeq mencipta sejarah pelumba pertama Malaysia menjuarai RCS di Jepun sesuatu yang sukar untuk luahkan. Kami semua menangis kegembiraan.

“Kejayaan ini membawa kegembiraan dan kepuasan seorang ayah melihat kejayaan anaknya berlumba dan seterusnya mengharumkan nama negara. Maleeq membuktikan dia tidak putus asa dan berusaha menjadi yang terbaik di Jepun,” kata presiden itu yang juga merupakan bapa Maleeq.

WhatsApp Image 2023-11-30 at 2.25.30 PM

Maleeq muncul sebagai naib juara bagi musim ke-11 dalam RCS Championship Series Japan.

Menjadi inspirasi buat ramai orang, dia juga merupakan naib juara bagi RCS Championship Series Japan musim ke-11.

Maleeq berjaya merangkul Anugerah Top 6 dalam kejohanan sama bagi kategori kanak-kanak berusia empat tahun.

Lebih menarik, Maleeq menjalani latihan intensif di M8 Training Centre empat kali seminggu dan sentiasa memastikan stamina kekal di paras terbaik dengan pelbagai aktiviti di rumah.

“Sebagai ibu bapa, kami yang merancang latihan dan strategi terbaik untuk persiapan terbaik anak-anak. Tanpa usaha dan pengorbanan tidak mampu kita ukir kejayaan.

“Untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Jepun, kami berlatih bersama team M8 Japan dan Lino Keiki.

“Membawa nama Malaysia dan nama pasukan M8 Malaysia ke peringkat lebih tinggi satu tanggungjawab yang besar. Untuk berada sebagai pelumba Malaysia pertama menjuarai RCS di Japan menjadi satu harapan dan semangat yang kuat yang perlu ada dalam diri,” kongsinya.

WhatsApp Image 2023-11-30 at 2.23.54 PM

Maleeq ketika bertanding bersama pelumba-pelumba hebat yang lain.

Terdahulu, Maleeq pernah meraih kejuaraan hattrick di Pushbike Grand Prix 2022, KPBY Championship 2022, Garuda Championship 2022, Race with Loversary (IBCC) 2022 dan Independent Race (IBCC) 2202.

Malah, Maleeq turut menakluk gelanggang di Thailand apabila bergelar juara di Racing Central Bangna, Bangkok, Thailand.

Dia juga terus memberi kesungguhan di Vietnam dan kemudian diangkat sebagai juara di Centrebike Bike Cup tahun lepas.

Tidak mengenal erti penat lelah, anak muda itu juga berjaya mengekalkan kejuaraan di Rockfish Championship Thailand tahun ini dan M8 International Pushbike Series 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram