
NAMA Dalia Farhana sememangnya terkenal apabila sering mendapat permintaan warganet untuk menghasilkan cover lagu-lagu yang rancak diputarkan menerusi radio.
Dia yang sebelum ini terkenal dengan cover lagu seperti Pulang, Bukti, Kekasi Bayangan, Aku Bukan Untukmu dan Cinta Terbaik mengakui sudah lama tidak membuat cover lagu sejak mengeluarkan album sendiri.
Mahu menyahut rindu peminat di luar sana, Dalia berniat untuk kembali lebih aktif dalam cover lagu dengan kualiti yang lebih baik selepas ini.
"Kalau dulu saya rakam lagu guna telefon sahaja, sekarang untuk cover lagu sudah boleh record di studio, ada orang membantu, jadi kualiti pun lagi bagus," katanya.
Mengulas perkembangan semasa, Dalia mengakui masih aktif dalam bidang nyanyian dan pada ketika ini dia sedang sibuk mempromosikan lagunya bersama Aziz Harun yang berjudul Akhir Cerita.
Dalia Farhana berduet bersama Aziz Harun buat pertama kalinya dalam lagu berjudul Akhir Cerita.
Dalia atau nama penuhnya Tengku Farhana Dalia Tengku Bahar Iskandar turut berasa sangat gembira dapat berkolaborasi bersama Aziz Harun buat pertama kalinya.
"Pertama kali jumpa terus berbincang untuk lagu ini dan dalam tiga jam sahaja dapat siapkan lagu ini," katanya.
Dalia berkata, lagu Akhir Cerita memberi mesej yang kuat buat pendengar di luar sana menerusi lirik lagunya.
“Bagi saya, lagu ini adalah mengenai kesedaran untuk melepaskan seseorang yang kita sayang.
"Dalam lagu ini ada pesanan untuk melepaskan dengan ikhlas dan tetap mendoakan apabila pada akhirnya tetap perlu berpisah," katanya.
Sementara itu, Aziz Harun turut mengulas mengenai ilham menghasilkan lagu ini bersama-sama Dalia dan rakan mereka iaitu Eugene Lai.
"Saya suka tengok apa yang terjadi di persekitaran saya untuk hasilkan lagu.
"Waktu itu, dekat media sosial banyak kes penceraian, banyak juga kawan di Brunei kes macam ini, selalu ada dekat kepala Aziz waktu itu sehingga jadi ilham untuk buat lagu ini," katanya.
Gembira dapat berduet bersama, Dalia turut berkata bekerjasama dengan Aziz adalah hal yang sangat mudah.
"Seronok dapat berkolaborasi dengan Aziz, sebab kami berdua jenis orang yang susah serius, jadi banyak ketawa sahaja sepanjang kerjasama," katanya.
Sebelum ini, Dalia turut popular dengan lagunya yang tular di media sosial seperti Biar Sayang, Langit Yang Sama dan Rumah.
Bercakap soal itu, Dalia turut berkongsi caranya untuk mendapatkan idea bagi menghasilkan lagu-lagu yang pernah ditulis.
"Ada yang diambil daripada pengalaman peribadi, ada juga dapat idea apabila tengok western movie," katanya.
Terpalit dengan kontroversi merupakan cabaran dunia seni, Dalia turut mengulas isu dirinya sering dikaitkan dengan bekas kekasihnya, Ubai Zulkefli yang kini merupakan suami penyanyi Shila Amzah.
"Bagi Dalia setiap orang berhak ada pendapat sendiri. Dalia okay sahaja. Dalia terima sahaja apa orang mahu cakap," katanya— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram