SELEPAS lama menyepi, penyanyi terkenal Noraniza Idris muncul kembali dengan lagu terbaharu berjudul Penawar Kita.
Peminat seni tanah air sememangnya mengenali Ratu Pop Etnik Negara yang terkenal dengan lagu Empat Dara, Anak Kecil Bermain Api dan Tandang Bermadah.
Memilih untuk bergandingan bersama Hazama buat kali pertama, Noraniza tidak menyangka Hazama menerima permintaannya dengan sangat baik.
"Saya tidak menyangka ketika pembantu peribadi saya iaitu Yus Sulaiman bertanya kepadanya mengenai hal itu, dia menerima tanpa berfikir lama.
"Dari segi vokal yang kuat untuk bawa lagu ini memang Hazama kerana dia ada satu tone suara yang kena sangat dengan lagu ini," katanya kepada Majoriti.
Setelah bertahun-tahun tidak mengeluarkan lagu, Noraniza Idris kembali lagi dengan lagu terbaharu berjudul Penawar Kita.
Menceritakan kisah di sebalik pembikinan lagu itu, Noraniza berkata, lagu itu mengambil masa selama setahun bagi menghasilkannya dan bakal dilancarkan pada Jumaat.
Cerita Noraniza, lirik yang ditulis membawa peminat dalam perjalanan yang menyentuh hati iaitu ujian dan cabaran kehidupan.
"Lirik lagu ini boleh jadi sebagai pengajaran praktikal dalam memahami hakikat hubungan manusia," katanya.
Melancarkan sesuatu album tidak semudah disangka, Noraniza turut bercerita mengenai kepayahan bagi menghasilkan lagu terbaharunya yang berada di bawah pantauan maestro muzik, Datuk M Nasir.
"Kami sudah merakam muzik video lagu ini, tetapi apabila Datuk M Nasir dengar, dia komen daripada sudut vokal.
"Dia kata aku tak puas hati rakaman ini, aku tak puas hati kedudukan suara Noraniza ini, jadi kami merakam semula lagu ini," katanya.
Selain itu, Noraniza berkata, dia memiliki masalah vokal yang menjadi cabaran bagi menghasilkan lagu terbaharu itu.
"Selepas Gegar Vaganza, saya ada masalah vokal dan meskipun sembuh dalam setahun, selepas itu tiba-tiba sakit semula," katanya.
Memilih untuk tetap kuat, Noraniza sentiasa mengambil strategi bagi menjaga suaranya agar tidak mengecewakan peminat yang mendengar.
Bercakap soal itu, Noraniza memberitahu, setiap hari dia akan melatih dirinya untuk membuat teknik pergerakan kod vokal (vocal chords) agar suaranya kembali seperti asal.
"Saya praktis, banyakkan minum air dan memastikan tidur teratur untuk memulihkan vokal saya semula," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram