Terpalit banyak kontroversi, Nabil Ahmad dah tak kisah apa orang nak kata


  • Hiburan
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Nabil tidak berniat untuk mempersendakan sesiapa termasuk individu cacat penglihatan.

PENGACARA dan penyampai radio, Nabil Ahmad mengakui sudah lali ketika menerima kecaman daripada netizen berhubung pelbagai kontroversi yang terpalit dengan dirinya.

Nabil berkata, dia lebih memilih untuk tidak mempedulikan perkara yang sudah terjadi kerana menganggap hal itu tidak lagi boleh diubah.

"Apa sahaja yang sudah terjadi, saya sudah tidak boleh nak buat apa-apa, tak boleh nak patah balik, jadi saya hanya boleh terima.

"Saya sama sekali tidak membaca sebarang komen yang diberikan oleh netizen apabila saya memuat naik sebarang gambar atau apa-apa di media sosial," katanya.

Mengulas lanjut, Nabil sering mengingati pesanan yang diberikan oleh pelawak, Saiful Apek kepadanya iaitu perlu menikmati segala hal yang dikurniakan buat masa sekarang.

"Kau bersyukur Nabil, nikmati sahaja keadaan sekarang ini apabila kau dapat banyak job untuk persembahan dan sebagainya, kerana semua benda ini tidak lama, akan hilang nanti," Nabil mengajuk kata-kata Apek terdahulu kepadanya.

Hal itu membuatkan Nabil terfikir dia perlu lebih bersyukur dengan segala nikmat yang ALLAH berikan kepadanya berbanding perlu berasa sedih dengan hal-hal yang remeh.

Nabil turut mengulas isu Sarimah Ibrahim di laman X (Twitter), mengenai rasa kurang senang jika wujud perdebatan ketika mengacara sesebuah program.

Meskipun hal itu tidak ditujukan buat sesiapa, Nabil mengambil kata-kata Sarimah itu sebagai nasihat buat dirinya untuk lebih maju ke hadapan.

"Apabila orang berkata sesuatu atau tegur, bermakna mereka peduli, jadi saya ambil dari sudut yang baik," katanya.

Sebelum ini, Nabil juga pernah dikritik ketika ada individu menganggap dia seolah-olah memerli orang buta iaitu, penyanyi Caliph Buskers, Azmi Saat.

Mengulas isu itu, Nabil berkata, dia hanya bergurau dengan Azmi kerana menganggap mereka sudah lama berkawan.

"Saya anggap Azmi macam kawan baik saya, saya memang bergurau dengan dia dan lepak bersama-sama jadi saya dengan Azmi tak ada apa-apa masalah," ujarnya.

Pada Rabu lalu, vokalis Caliph Buskers itu berkata, dia tidak tersinggung dengan gurauan dengan Nabil dan Jihan Muse ketika mengacarakan ASGV (All Stars Gegar Vaganza) yang mana mereka seakan-akan mempersenda nama bapa dan keadaan diri orang cacat penglihatan ketika siaran langsung program realiti tersebut.

Tambah Azmi, gurauan itu tidak mendatangkan masalah baginya kerana dia dan Nabil serta Jihan kenal antara satu sama lain.

Meskipun demikian, dia mengakui pasti ramai yang kurang senang dengan gurauan kasar kedua-dua pengacara berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram