Buta buat selama-lamanya, ini cara Masitah berdamai dengan takdirnya


Masitah ketika sedang ditemu bual bersama pengamal media di Majlis Yayasan Raja Muda Selangor Open Day, di Kolej Komuniti Kuala Langat.

TIDAK semua di antara kita kuat menerima ujian yang ALLAH berikan terutama jika ujian tersebut datang secara tiba-tiba atau secara mengejut.

Ujian yang tiba-tiba atau tidak terduga adalah ujian yang sangat berat dan menguji ketahanan emosi, mental, dan keimanan seseorang.

Dalam Islam ada tertulis bahawa ALLAH tidak akan memberikan ujian yang melebihi batas kemampuan individu, seperti yang disebutkan dalam al-Quran dalam surat al-Baqarah [2:286].

517165

Gambar lama Masitah sebelum ditimpa kemalangan. — Instagram @mashyta_oneandonly

Tidak kurang hebatnya, dugaan yang pernah menimpa seorang wanita apabila berlaku kemalangan hingga hilang penglihatan kedua-dua belah matanya buat selama-lamanya.

Siapa tidak kenal, seorang susuk hebat yang tidak lekang senyumannya setiap kali disapa atau dipandang iaitu Masitah Mohd Affandy, 32 tahun.

Masitah berkongsi kisah yang penuh menyentuh hati apabila dia cuba berdamai dengan takdirnya apabila buta kedua-dua matanya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 Mac lalu iaitu dua hari sebelum Ramadan.

Berikutan kemalangan itu, Masitah dirawat selama 24 hari di wad hospital namun apa yang berlaku tidak menyebabkannya murung sebaliknya terus positif dalam meneruskan kehidupan.

siakap-keli-article-cover-1684232693-740x385

Masitah sering membuat live di akaun TikToknya bagi menjawab soalan-soalan netizen terhadap kecekalan hatinya menerima ujian. — TikTok @n.mashyaircond

Aura positifnya dapat dilihat menerusi perkongsian video di TikTok dengan rata-rata netizen kagum dan memuji Masitah yang nampak tenang walaupun selepas berdepan ujian hebat.

Apabila ditanya soal bagaimana dia cuba berdamai dengan takdir yang mengakibatkan dia hilang pancaindera buat selama-lamanya, jawab Masitah tiada tips yang spesifik tetapi lebih kepada reda dengan ketentuan takdir.

"Kita tahu apa yang ALLAH beri dekat kita itu adalah yang terbaik. Dia berjanji dalam al-Quran bahawa kadang-kadang ada perkara yang kita rasa tak bagus untuk kita tapi sebenarnya bagus buat kita.

"Maksudnya jalan cerita yang ALLAH susunkan itu ALLAH tahu itu yang terbaik buat kita. Kadang-kadang kita rasa perkara itu baik buat kita padahal ia sebaliknya," ujarnya.

Screenshot-2023-05-16-183529

Masitah merupakan OKU penglihatan akibat kemalangan jalan raya pada 21 Mac lalu.

Tambah Masitah, dia berpegang pada prinsip bahawa apa sahaja yang telah ALLAH aturkan dalam kehidupan ini adalah yang terbaik buatnya.

"Saya hanya gembirakan diri saya dan play my part as hambaNya dan buktikan kepada ALLAH, insya-ALLAH saya akan cuba jadi hambaNya yang terbaik," ujarnya.

Bagi Masitah, itu akan menjadi kunci untuk dia senang untuk berdamai dengan takdirnya yang sekarang.

Masitah juga tidak melepaskan peluang untuk memberi sedikit nasihat agar sentiasa berfikiran optimistik di majlis anugerah Yayasan Raja Muda Selangor Open Day, di Kolej Komuniti Kuala Langat, Selangor pada Selasa.

"Sentiasa berada dalam keadaan yang optimistik bermaksud dalam apa jua ujian dalam hidupan kita dekat depan tu nanti ada perkara-perkara yang baik buat kita, masih ada jalan keluar untuk semua permasalahan dan cabaran.

"Percayalah ALLAH akan siapkan jalan keluar kalau kita persiapkan diri kita untuk ke arah itu," kata Masitah lagi kepada Majoriti.

Untuk rekod, Masitah merupakan seorang usahawan terkenal selepas video perkongsiannya yang positif tular apabila disahkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) penglihatan akibat kemalangan jalan raya beberapa hari sebelum Ramadan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram