Berdebar hadapi konsert besar, Aina Abdul dedah hanya minum air T20


  • Hiburan
  • Ahad, 01 Okt 2023

Aina Abdul mahu tetap kukuh dalam bidang nyanyian dengan mengambil kira pelbagai sudut termasuk penjagaan vokal.

BAGI peminat seni muzik tanah air, persembahan muzik yang dibawakan oleh penyanyi bergelar Aina Abdul sememangnya satu hal yang ditunggu-tunggu.

Penyanyi popular yang dikenali dengan lagu-lagu seperti Jangan Mati Rasa Itu dan Fool itu bakal menggegarkan pentas dalam konsert terbaharunya 'A Night with Aina Abdul 3.0' pada 18 November 2023 pada pukul 8 malam.

Menurut Aina, persediaan dalam melangsungkan konsert berskala besar yang penuh gilang-gemilang di Axiata Arena Bukit Jalil itu sudah siap 60 peratus.

"Alhamdulillah, sekarang saya dan pasukan Aina Abdul Entertainment sedang fokus untuk bahagian rehearsal, latihan dengan penari sebab kali ini saya akan jayakan konsert besar.

"Walaupun kebiasaannya, artis lama yang buat konsert di Axiata Arena tapi sebagai artis baru dengan pengalaman kira-kira lima ke enam tahun dalam industri muzik, saya tetap mahu buat di situ," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2023-09-30 at 4.38.48 AM

Busana pokok yang direka khas oleh Melinda Loi buat Aina Abdul beraksi di dalam Anugerah Juara Lagu ke-36.

Pada masa sama, Aina turut mendedahkan nama pereka baju kegemarannya ialah pereka fesyen tempatan, Melinda Looi.

"Salah satu pereka busana yang menjadi kegemaran saya ialah Melinda Looi kerana kebanyakan baju-baju ikonik saya dihasilkan oleh Melinda.

"Saya cakap dengan Melinda yang saya mahu satu tema dengan maksud mekar berkembang sesuai dengan lagu.

“Akhirnya, jadi busana yang mega bertemakan bunga. Kami gunakan banyak ranting, bunga hidup dan juga bunga plastik,” katanya.

Terdahulu, pada acara Anugerah Juara Lagu ke-36, Aina berjaya mencuri tumpuan penonton apabila penyanyi itu menjadi ‘pokok bunga’.

Aina Abdul Untitled Session 07

Kontroversi pakaian pelik

Aina berkata, dia berasa seronok untuk meneroka dengan lebih mendalam dari sudut gaya walaupun banyak wang dibelanjakan untuk menzahirkan impiannya itu.

"Dari sudut wang, saya ada perjanjian sendiri dengan pereka bentuk.

"Bagi saya, semua benda itu pelaburan untuk diri saya tapi berbaloi, walaupun belanja banyak tapi saya rasa senang," katanya.

Penyanyi dengan nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani itu turut mendedahkan caranya tersendiri untuk kekal kukuh dalam industri muzik tanpa hanya terkait dengan kontroversi pakaian pelik.

"Saya rasa untuk bertahan lama dalam industri muzik, sebagai penyanyi saya perlu bersikap merendah diri supaya ada tempat di hati peminat dan disayangi mereka.

"Saya juga perlu ada new product di mana saya perlu peka dari sudut lagu dan fesyen supaya sentiasa up to date dan bersesuaian mengikut masa sekarang," katanya.

Aina turut berterima kasih dengan penganjur bersama untuk menjayakan persembahan muzik ini, iaitu Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN).

"Terima kasih untuk Datuk Mohd Aizuddin Ghazali (Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN) khususnya kerana dengan persediaan muzik yang saya pun pening tengok cara mereka kendalikan, mereka ada di saat saya tiada bantuan, jadi saya berterima kasih sangat kepada PRIHATIN," katanya.

Tidak pernah gagal mencuri tumpuan dengan fesyen uniknya, Aina meluahkan rasa syukur diberi peluang untuk bekerja dengan ramai pereka fesyen.

"Terima kasih Abu Shaef Hamza, styling saya sebab kenalkan dengan ramai pereka bentuk," katanya.

Aina Abdul 1

Cerewet pilih air minuman

Aina turut memberi nasihat kepada penyanyi lain bahawa perlunya pengambilan air yang baik untuk menjaga suara khususnya apabila mengadakan persembahan.

"Kadang kita tengok air tu okay, tapi sebenarnya dia 'kasar' untuk tekak kita.

"Nasihat saya tuju kepada penyanyi yang serius dalam bidang ini, pilih air yang berkualiti, saya satu kegemaran saya air minuman Evian dan Fiji," katanya.

Pada 13 Februari lalu, Aina merangkul trofi juara lagu apabila lagu ciptaannya berjudul Terus Hidup mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37.

Kemenangan itu melayakkan Aina memenangi trofi dan wang tunai RM100,000.

Selain itu, vokal luar biasa dan persembahan memukau berkonsep atas awan ketika mendendangkan lagu Terus Hidup turut membawa tuah buat Aina apabila diumumkan pemenang trofi Vokal Terbaik dengan hadiah trofi dan wang tunai RM12,000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram