Si kecil kena 'chicken pox', jangan beri aspirin, ikuti 5 langkah mudah rawat anak di rumah


  • Sihat
  • Rabu, 27 Sep 2023

Chicken pox biasanya berlaku kepada kanak-kanak.

CHICKEN POX atau dikenali sebagai cacar air berpunca daripada virus Varicella Zoster dan ia amat mudah berjangkit.

Penyakit ini biasanya ia berlaku pada kanak-kanak, namun boleh juga boleh berjangkit kepada semua peringkat umur.

Pegawai Perubatan Keluarga, Dr Nimelesh Balanthirenini berkata, terdapat lima perkara utama yang ibu bapa boleh lakukan jika si kecil terkena jangkitan demam cacar air.

Berikut Majoriti senaraikan saranan doktor untuk ibu bapa lebih mudah memantau keadaan anak masing-masing:

Dr Nimelesh Balanthirenini

1) Jaga anak di rumah

Jika keadaan anak masih aktif dan terkawal, boleh jaga anak di rumah sahaja.

Elakkan ahli keluarga lain daripada terdedah kepada penghidap chicken pox.

Cara terbaik adalah tunggu sehingga semua ruam di badan anak menjadi kering dan tidak ada ruam baharu yang muncul.

Selalunya, ia akan ambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk ruam itu kering dan menjadi keruping.

Jangan lupa untuk asingkan pakaian, tuala, alat untuk makan dan minum supaya tidak bercampur dengan ahli keluarga yang lain.

2) Jangan guna aspirin untuk redakan demam anak!

Jika aspirin diberi kepada kanak-kanak yang dijangkiti chicken pox, ia boleh menyebabkan penyakit Reye’s Syndrome.

Penyakit tersebut berisiko kepada organ dalaman kerana boleh merosakkan hati dan otak anak.

Sebaliknya, ibu bapa boleh gunakan Paracetamol mengikut dos yang sepatutnya.

3) Sapu dengan losen calamine setiap kali selepas mandi

Penggunaan losen akan memberi kelembapan dan kelegaan pada kulit anak.

4) Bantu kurangkan kegatalan kulit si kecil

Ibu bapa perlu bantu anak-anak dengan memberi ubat cecair antihistamine untuk dimakan namun beri ketika perlu sahaja dan pastikan mengikut dos seperti yang dicadangkan.

5) Pastikan kuku anak sentiasa pendek

Ini kerana ketika anak menggaru kulit, kuman daripada bawah kuku akan masuk ke kawasan ruam dan menyebabkan jangkitan bakteria (secondary infection) pada kulit.

Bagi bayi, ibu bapa boleh pakaikan sarung tangan (mitten) supaya mereka tidak menggaru kulit yang gatal itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram