Jelajah pedalaman pandu 'camper van' perturun ilmu baiki sendiri barang rosak


Johnson berhasrat mahu mencipta lebih ramai inovator dan usahawan menerusi inisiatif Kaki D-I-Y.

JUMLAH RM100,000 pastinya satu amaun yang banyak untuk dibelanjakan, namun bagi Johnson Lam, dia tidak kisah berbuat demikian asalkan orang ramai mendapat manfaat daripada pelaburan tersebut.

Pengasas Kaki Repair itu melabur wang tersebut untuk membolehkannya mengajar kemahiran buat sendiri atau do-it-yourself (D-I-Y) di kampung-kampung dan kaki lima kedai.

Dia berbuat demikian dengan membeli sebuah camper van jenis Mitsubishi JB470 Delica L3004X4 dari Jepun dan mengubah suai kenderaan mengikut cita rasa untuk memenuhi keperluannya.

Dengan kenderaan itu, siapa sangka, dia menelusuri hingga ke kawasan pedalaman di negara ini untuk mengajar orang ramai cara membaiki barangan yang rosak tanpa perlu membuangnya.

Katanya, van itu adalah model tahun 1995 dan hanya terdapat 50 kenderaan sedemikian di dunia.

“Van ini menarik banyak perhatian ramai orang daripada kanak-kanak hinggalah golongan baik di kawasan luar bandar mahupun bandar.

“Saya mengubah suai van ini supaya boleh tidur di dalamnya apabila pergi ke kawasan terpencil. Ia turut dilengkapi dengan panel solar,” katanya.

306994199_2159781187523868_9209750944313106761_n

Sebahagian aktiviti Kaki D-I-Y bersama masyarakat kota di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. — Facebook

Johnson memberitahu, Kaki Repair dimulakan pada 2017 untuk menggalakkan orang ramai membaiki barangan yang rosak daripada membeli barang baharu atau membuangnya.

Gerakan Kaki Repair itu sebahagian daripada inisiatif Kaki D-I-Y, iaitu sebuah organisasi komuniti yang diasaskan pada 2013 untuk orang ramai berkongsi idea, bekerjasama dan memberikan perkhidmatan kepada orang lain.

Johnson mengembangkan inisiatif tersebut ke kawasan luar bandar kira-kira empat tahun lalu dan van tersebut hanya menjadi sebahagian daripada aktivitinya pada tahun lepas.

Dia berhasrat mahu mencipta lebih ramai inovator dan usahawan menerusi inisiatif berkenaan.

“Tetapi kita perlu mengajar orang bagaimana untuk menyelesaikan masalah terlebih dahulu, barulah mereka boleh belajar berinovasi.

“Apabila saya pergi ke luar bandar, saya nampak wujud semangat kerjasama yang sebenar dalam kalangan masyarakat di sana.

“Mereka mahu mempelajari kemahiran hidup seperti subjek yang pernah diajar di sekolah pada era 1990-an,” katanya.

Menurut Johnson, walaupun kebanyakan orang mempunyai akses kepada internet, mereka tidak tahu bagaimana untuk menterjemah pengetahuan yang diperoleh ke dalam bentuk praktikal.

“Sebagai contoh, ada yang berminat untuk menceburi bidang penuaian madu tetapi mereka tidak pasti bagaimana untuk menetapkan asas untuknya.

“Tetapi apa yang bagus terdapat semangat kemasyarakatan yang tinggi dalam kalangan penduduk kampung untuk berkongsi pengetahuan mereka dengan orang lain," katanya.

277007185_2026775157491139_1954527087753264093_n

Organisasi komuniti Kaki D-I-Y turut menyantuni masyarakat Orang Asli di Pulau Carey, Klang. — Facebook

Tambahnya lagi, dia juga pernah ke Kota Belud, Sabah untuk mengajar kira-kira 10 orang kanak-kanak tentang pengekodan dan robotik mudah.

“Apabila saya kembali semula ke kampung itu, kira-kira 30 kanak-kanak lain menjadi sebahagian daripada pasukan kerana mereka belajar daripada satu sama lain.

“Malah mereka juga boleh menyelesaikan masalah menggunakan kaedah tersendiri yang berkesan. Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian itu" katanya.

Ujar Johnson, para peserta juga tidak pernah dikenakan bayaran untuk program kelolaan Kaki D-I-Y.

Malah dia menjalinkan kerjasama rapat dengan rakan korporat untuk mendapatkan pembiayaan.

Selain bergerak secara fizikal, Johnson berkata, Kaki D-I-Y juga aktif di media sosial dan mengumpulkan pengikut mereka yang kini berjumlah 56,000 di Facebook Group KakiRepair by KakiDIY. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram