Penutup tin aluminium cetus idea pasangan Sabah hasilkan fesyen lestari


Mojinun (kanan) dan Cheryl tidak putus asa dalam memasarkan produk kitar semula yang dihasilkan mereka.

AKSESORI kitar semula dan barangan seperti beg jinjit dan tas tangan menarik perhatian segelintir pengunjung semasa pameran seni kreatif di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Orang ramai menunjukkan rasa ingin tahu terhadap barangan itu, yang kebanyakannya diperbuat daripada penutup tin aluminium.

Barangan tersebut dihasilkan oleh pasangan pengantin baru, Calvin Patrick Mojinun, 33, dan isterinya, Cheryl Joanne Chan, 34.

“Saya mula berjinak-jinak dalam kraf kitar semula pada 2012, tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, saya semakin serius dalam bidang ini. Bagaimanapun, cabaran utama adalah untuk mendapatkan bekalan bahan yang stabil,” kata Mojinun.

Idea untuk menukar tin menjadi sesuatu yang boleh digunakan timbul selepas dia sekeluarga mengunjungi Filipina di mana dia melihat banyak barangan kitar semula yang cantik dijual.

“Jadi saya fikir, produk ini sebenarnya bagus. Saya sepatutnya membawa pulang konsep sebegitu dan mencuba di pasaran tempatan,” katanya.

296575908_1953358761524529_3931463316667967361_n

Beg jinjit dan tas tangan daripada penutup tin aluminium yang dihasilkan oleh pasangan itu. — Facebook

Mojinun berkata, cintanya terhadap seni dan kraf timbul daripada arwah bapanya kerana dia sering mengikut lelaki itu ke kampung dan daerah sekitar Sabah untuk bekerja.

Dia juga memperoleh ilham dan mewarisi kreativiti itu daripada nenek, Mailis Jounin, 81, dan mendiang ibunya, Irene Lawrence, yang turut membuat barangan seperti beg buluh dan manik.

Begitupun, Mojinun mengakui, produk kitar semula tidak begitu menarik minat rakyat Sabah, mungkin disebabkan kurangnya pemahaman dan kesedaran tentang kepentingan fesyen lestari.

“Malah, orang ramai tidak sanggup membayar apa yang mereka anggap sebagai sampah.

"Sebahagian besar orang tidak mahu menderma atau menjual bahan yang kami perlukan seperti penutup tin. Ini kerana mereka merasakan ia satu pekerjaan yang remeh dan tidak melihat sebarang pulangan kewangan untuk diri mereka,” kata Mojinun.

Sementara itu, bagi Cheryl, dia sentiasa memberi idea bagaimana mereka boleh melakukan sesuatu yang lebih baik dan mencari cara untuk mengumpul bahan tersebut.

Dia juga bertanggungjawab dalam pemasaran dan penghasilan idea, manakala suaminya melakukan kebanyakan kerja mengait dan menjahit.

"Suami saya boleh mengambil masa berhari-hari dan kadangkala berminggu-minggu untuk menyiapkan satu barangan terutamanya jika ia adalah reka bentuk baharu," katanya.

296481688_1953358771524528_1588104762186700401_n

Aksesori anting-anting daripada penutup tin aluminium yang dihasilkan oleh pasangan itu. — Facebook

Sementara itu, Mojinun menjelaskan, sebelum membuat sesuatu produk, mereka terlebih dahulu mencari dan mengumpulkan seberapa banyak penutup tin yang boleh.

Kemudian, mereka perlu mengasingkan penutup secara manual daripada tin, membersihkan dan melicinkannya untuk mengeluarkan bahagian tepi yang tajam.

Proses itu, katanya dilakukan secara manual yang sering mengakibatkan luka pada jari akibat terkena bucu tepi yang tajam.

"Kami tidak boleh membiarkan pelanggan tercedera dengan produk kami, jadi kami mesti memastikan setiap komponen diperiksa dengan betul sebelum proses seterusnya," kata Mojinun.

Buat masa ini, walaupun pasaran barangan kitar semula masih baru dan kecil di Sabah, pasangan itu yakin keadaan akan berubah menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Mereka juga sedar terdapat penerimaan lebih tinggi bagi produk tersebut di luar Sabah dan cuba mendekati golongan tersebut.

Pasangan itu berhasrat untuk memasarkan produk mereka melalui platform media sosial seperti Facebook live2learnideas. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram