'Kalau duet dengan Nuha lagi why not' — Naufal mahu cuba genre muzik lain


  • Hiburan
  • Selasa, 12 Jul 2022

Naufal tidak menolak untuk berduet dengan Nuha lagi jika diberi peluang pada masa akan datang. — YouTube

NAMA Naufal Azrin yang menjadi pasangan duet Nuha Bahrain dalam lagu Casablanca tiba-tiba meledak lantaran populariti yang diraih lagu tersebut di platform Spotify dan TikTok.

Penyanyi berusia 23 tahun itu turut mengakui terkejut dengan populariti mendadak yang diraihnya dalam masa singkat.

Menurut Naufal, dia bukanlah pendatang baharu dalam industri seni hiburan tanah air sebaliknya pernah menganggotai kumpulan nasyid Zayne yang ditubuhkan pada 2019.

"Kontrak saya bersama Zayne dah habis sebenarnya, jadi sekarang saya bergerak secara solo.

"Alhamdulillah penerimaan peminat daripada lagu ini amat baik, saya pun tak sangka baru berjinak-jinak secara solo tapi dah popular sebegini, jadi bersyukur sangat-sangat," katanya kepada Majoriti.

Screenshot 2022-07-12 171502

Naufal dan Nuha bergandingan dalam klip video Casablanca. — YouTube

Melihat kefasihan Naufal melantunkan lirik dalam bahasa Arab, penyanyi yang berasal dari Selayang, Selangor itu berkata, dia sebenarnya tidak tahu berbahasa Arab.

"Saya tak boleh bertutur tapi mampu menyebut perkataan dalam bahasa Arab.

"Selain itu, saya juga ada pengalaman mengalunkan bacaan-bacaan syair bahasa Arab ketika usia 14 tahun, jadi dari situ sebenarnya saya boleh menyanyikan lagu dalam bahasa ini," ujarnya yang merupakan bekas pelajar Maahad Tahfiz Imam Syafie, Hulu Klang.

Berikutan kejayaan yang diraih daripada lagu Casablanca, Naufal tidak menolak untuk berduet dengan Nuha lagi jika diberi peluang pada masa akan datang.

"Kalau dapat bergandingan dengan Nuha lagi why not...Nuha sangat profesional dan banyak beri tunjuk ajar. Insya-ALLAH boleh cuba genre lain selepas ini," ujarnya.

Melihat kemesraan Naufal dan Nuha, ada peminat yang tertanya-tanya status hubungan mereka, namun dia menjelaskan mereka berdua rapat seperti adik-beradik.

Ditanya sama ada sudah memiliki teman istimewa, Naufal ringkas menjawab, biarlah rahsia.

"Doakan yang baik-baik buat diri saya," ujarnya tersenyum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram