
TERDAPAT hanya segelintir pembuat blok batik di Pantai Timur dan seorang pakar pertukangan dari Kelantan, Md Ghani Mat berazam untuk menurunkan kepakarannya kepada generasi muda.
Buat masa ini, dia fokus untuk mengajar dua anak lelakinya, Mohd Eri Azri, 33, dan Mohd Ahmad Adi Adli, 26, tentang kemahiran itu.
"Saya mengajar kedua-dua anak lelaki dan mereka mengambil masa kira-kira dua tahun untuk menguasai kemahiran ini. Syukurlah, anak-anak saya berminat dengan seni yang semakin pupus ini.
Md Ghani yang tinggal di Wakaf Baru, Kelantan berkata, terdapat kira-kira lima pembuat batik cop atau batik terap di negeri itu buat masa ini dan dia berkongsi ilmu serta kemahiran dengan anak-anaknya supaya mereka meneruskan legasi itu untuk generasi akan datang.
"Saya sanggup mengajar sesiapa sahaja, asalkan mereka mahu belajar, sabar dan gigih untuk mempelajari kraf ini," katanya seperti dilaporkan The Star.
Md Ghani menurunkan kemahiran membuat blok batik kepada dua orang anak lelakinya.
Bapa kepada lima anak itu pernah menerima anugerah Adiguru Kraf Blok Batik (tukang blok batik) daripada Kraftangan Malaysia pada 2011 yang, mana ia merupakan salah satu peristiwa penting dalam kerjayanya.
Selama bertahun-tahun, Md Ghani melatih lebih 50 pelajar di Institut Kraftangan Negara mengenai pembuatan blok batik.
Dia mahu melihat kebangkitan dalam kraf itu dan bertekad untuk meneruskan perniagaan tersebut kerana mahu membuat rakyat Malaysia menghargai kraf tradisional yang digemarinya.
"Sekarang ini, sukar untuk berjumpa dengan golongan belia yang berminat belajar membuat blok batik. Ia kerja yang membosankan, dan gajinya tidak begitu menarik.
"Perantis blok batik boleh memperoleh kira-kira RM30 sehari dan ia nampak tidak menguntungkan berbanding dengan gaji pekerja kilang atau atendan pam petrol.
“Daripada bekerja sebagai pembuat blok batik di kampung, kebanyakan belia lebih suka berpindah ke bandar untuk mencari pekerjaan berpendapatan tinggi atau menceburi perniagaan dalam talian,” kata lelaki itu.
Sebahagian motif dan reka bentuk dengan seni tangan halus pada blok batik.
Md Ghani telah menceburi bidang pembuatan blok batik selama lima dekad, bermula membuat blok batik daripada pembuat batik di Kelantan pada 1970-an ketika berusia 15 tahun.
Sejak berdekad-dekad, dia sudah mengasah kemahirannya dengan mengikuti kursus pembuatan blok batik anjuran Kraftangan Malaysia.
Lelaki itu mampu berbangga kerana sudah menghasilkan kira-kira 6,000 blok batik dalam kerjayanya setakat ini.
"Saya dibesarkan di sebuah perkampungan batik kecil di Pasir Mas. Pada tahun 1970-an, pekerjaan agak terhad, jadi saya belajar membuat blok batik untuk mencari rezeki.
"Apa yang menarik saya kepada seni ini ialah idea mencipta motif rumit dan reka bentuk cantik pada blok batik.
"Saya suka membuat rekaan bentuk acuan untuk menghasilkan batik yang cantik," kongsi Md Ghani, yang merupakan anak sulung daripada lima beradik.
Md Ghani menceburi bidang pembuatan blok batik selama lima dekad.
Tiga abangnya juga terlibat dalam perniagaan batik yang mana dua daripada mereka menjadi pembuat batik manakala seorang lagi memiliki perniagaan runcit batik.
Sejak 40 tahun lalu, Md Ghani menjalankan perniagaan Al Amin Batik dari rumahnya di Kampung Chenderong Batu yang jaraknya 10 minit dari Kota Bharu.
Md Ghani berkata, dia menerima rekaan untuk blok batik yang ditempah khas daripada pembuat batik di Pantai Timur, Sabah, Sarawak dan Thailand.
Menerangkan proses membuat blok batik, dia berkata, replika reka bentuk dibuat di atas sehelai kertas. Kemudian, kepingan kuprum berukuran 1.5 sentimeter setiap satu dipotong menjadi jalur panjang.
Seterusnya, satu alat khas digunakan untuk membengkok dan membentuk jalur tembaga kepada pelbagai motif seperti bunga, daun dan corak geometri.
Setelah selesai, kepingan logam berbentuk dipateri pada tapak logam terbuka dengan pemegang.
Md Ghani gembira anak sulungnya berminat untuk mempelajari seni yang semakin pupus itu.
Ia memerlukan seorang tukang berkemahiran tinggi untuk mencipta reka bentuk rumit pada blok. Lagipun, kualiti dan keindahan sesuatu batik banyak bergantung kepada kualiti blok batik yang digunakan.
Md Ghani mengambil masa antara tiga hingga tujuh hari untuk menyiapkan satu blok batik bergantung kepada tahap kerumitan. Harga permulaan untuk satu blok ialah RM350. Secara purata, dia membuat kira-kira 10 blok batik dalam sebulan.
Selain corak tradisional, Md Ghani juga mula membuat blok tembaga dengan reka bentuk yang lebih moden seperti tulisan khat dan pelbagai logo yang lazimnya digunakan sebagai barang hiasan.
Menurut Md Ghani, pembuat batik lebih suka blok yang diperbuat daripada kepingan tembaga berbanding besi kerana ia lebih tahan lama dan tidak menghakis.
Dia juga lebih suka menggunakan kepingan tembaga kerana ia fleksibel, menjadikannya lebih mudah dibentuk untuk menghasilkan corak yang halus.
"Tembaga adalah konduktor haba yang sangat baik. Ia menyerap haba dengan cepat dan mengekalkannya untuk jangka masa lama.
Replika reka bentuk blok batik dibuat di atas sehelai kertas terlebih dahulu.
"Menggunakan acuan tembaga juga lebih berkesan dalam pengecapan batik kerana haba tersebar secara merata ke atas blok selepas ia dicelup ke dalam lilin panas, yang digunakan untuk mengecop reka bentuk pada kain.
Tambahan pula, tembaga tahan lasak, dan lebih mudah dibaiki sekiranya acuan rosak," kata Md Ghani.
Sementara itu, seorang anaknya, Mohd Eri mengakui pembelajaran membuat blok batik sememangnya mencabar terutama membentuk jalur tembaga menjadi motif rumit. Dia mengikuti kursus batik selama dua tahun di Institut Kraftangan Negara di Rawang sebelum menyertai perniagaan bapanya.
Walaupun perlahan-lahan menguasai kemahiran itu, Mohd Eri yang sudah berkecimpung tujuh tahun di syarikat bapanya itu berkata, dia mempunyai perjalanan yang jauh sebelum dapat memuaskan hati orang tuanya itu.
"Bahagian yang paling mencabar ialah membuat motif dan memasukkannya ke dalam blok. Motif mestilah sama untuk supaya coraknya simetri. Ia memerlukan kreativiti tetapi juga ketepatan dan kemahiran untuk membuat blok batik ini," katanya.
Mohd Eri sudah 90 peratus mahir dalam pembuatan blok batik.
Meskipun pada mulanya sukar, anak sulung daripada lima beradik itu gembira kerana melihat kemajuan dirinya sendiri.
Kata Md Ghani, Mohd Eri sudah 90 peratus mahir dalam pembuatan blok batik, dan yakin anak lelakinya itu akan mencapai standard tinggi pada suatu hari nanti.
"Ahmad juga bersemangat untuk mempelajari kemahiran ini. Paling penting, mereka berdua ada minat yang mendalam terhadap kemahiran tradisional ini.
"Kebanyakan rakan sebaya mereka mungkin tidak berminat untuk belajar membuat batik kerana menganggap ia ketinggalan zaman. Tetapi, syukur anak-anak saya bersemangat dan sanggup belajar," katanya.
Mohd Eri melihat potensi dalam kraf tradisional dan mempromosikan blok batik buatan tangan di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram. Dengan mempromosikan produk mereka secara dalam talian, bapa kepada dua anak itu berharap dapat mendidik orang ramai tentang kraf blok batik dan warisan budaya masyarakat Melayu.
"Batik adalah sebahagian daripada warisan bangsa. Malangnya, ramai dalam kalangan generasi muda tidak berminat untuk memakai batik kerana menganggap ia tidak mengikut trend. Dengan mempromosi hasil buatan tangan kami, saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan menghargai batik dan berbangga memakai pakaian batik tradisional," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram