Sasterawan Negara Zaharah Nawawi dijemput Ilahi, al-fatihah


  • Primer
  • Selasa, 31 Mei 2022

Allahyarham Zaharah disifatkan sebagai individu yang banyak memberi inspirasi kepada keluarga atas kejayaan beliau. — Facebook

SASTERAWAN Negara, Zaharah Nawawi meninggal dunia di Hospital KPJ Rawang, Selangor pada 7.55 pagi, Selasa.

Khabar duka itu dikongsikan anak saudaranya, Fadhil Jaffar di Facebook.

Menurut Fadhil, Allahyarham Zaharah dipercayai meninggal dunia akibat penyakit barah yang dihidapi.

"Pagi tadi baru dapat perkhabaran dukacita, kami kehilangan makcik yang disayangi.

"Zaharah Nawawi, seorang makcik yang disenangi dan kuat berfalsafah. Bertarung ke akhir hayat melawan penyakit barah yang dihadapi.

"Alhamdulillah...dua minggu lepas sempat kami datang menziarah, terpancar senyuman dan kegembiraan dalam menahan kesakitan. Melihat generasi dan legasi sekarang walaupun sekadar menumpang kasih sayang anak-anak dan cucu-cucu saudara," tulisnya.

Fadhil menyifatkan Allahyarham Zaharah, 82 sebagai individu yang banyak memberi inspirasi kepada keluarga atas kejayaan beliau.

"(Allahyarham) antara yang berjaya dalam kalangan adik beradik arwah ayah. Beliau memberi inspirasi atas kejayaannya yang banyak mendapat pengiktirafan, novelist tersohor dan sasterawan disegani. Namun terselit jugak kisah duka di sebalik suka.

"Buat mak cik Zaharah, moga ALLAH ampuninya, rahmatinya, maafkannya, muliakan kematiannya, lapangkan kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya.

"Semoga mak cik zahrah ditempatkan bersama-sama kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah," katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham yang berasal dari Kampung Parit Jawa, Batu Pahat di Johor akan dibawa pulang ke kediamannya di No 53, 4/1F USJ, Subang Jaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram