Anis Nabilah pernah dikata terlalu muda untuk ajar memasak


  • Hiburan
  • Ahad, 03 Apr 2022

ANIS Nabilah bersama trofi selepas dipilih sebagai Asean's Most Influential Chef pada Asean Food & Travel Awards 2022.

SIAPA yang tidak kenal dengan cef selebriti, Anis Nabilah yang bukan sahaja ligat di dapur, tetapi juga petah berkata-kata di televisyen.

Namun, Anis atau nama sebenarnya, Anis Nabilah Umaruddin yang sentiasa berperwatakan ceria itu sebenarnya nyaris berputus asa di awal pembabitannya dalam kaca televisyen.

Menurut Anis, pada awal kariernya, ada yang menegur bahawa dia tidak sesuai untuk berada di televisyen kerana dirinya terlalu muda untuk mengajar orang memasak.

Malah jelasnya, ada juga yang memberi pesan bahawa wanita memang susah untuk menjadi cef dan tampil di televisyen.

"Memang ada rasa kecewa dengan telahan awal itu tetapi saya cuba untuk tidak endahkan komen-komen yang berbaur negatif apatah lagi memang saya seorang yang suka mengajar dan berkongsi resepi.

"Disebabkan itu saya teruskan juga penglibatan dalam dunia masakan di televisyen dan akhirnya dikenali sehingga kini," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dunia digital yang semakin berkembang dan lahirnya individu bukan cef yang membuat kandungan memasak, jelas Anis, dia sentiasa menganggap itu sebagai sesuatu yang positif.

"Ini menunjukkan yang industri ini sudah semakin besar dan berkembang jika hendak dibandingkan ketika saya mula-mula masuk dahulu.

"Malah, kanak-kanak juga sudah mula yakin untuk mempamerkan kemahiran memasak dan berkongsi resipi.

"Bukan macam saya dahulu, kalau nak belajar memang kena buka buku atau menonton televisyen," katanya.

Terdahulu, Anis dinobatkan sebagai Asean's Most Influential Chef pada Asean Food & Travel Awards 2022 dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini.

Anugerah tersebut telah disampaikan sendiri oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram