Bekas anggota polis tumpaskan Botak Chin meninggal dunia


  • Primer
  • Isnin, 23 Mei 2022

Mendiang Woodworth (kiri) ketika mengadakan sesi pertemuan bersama Nik Ezanee.

BEKAS anggota polis, Timbalan Superitendan Kenneth James Woodworth yang memainkan peranan penting dalam menghentikan keganasan Botak Chin, meninggal dunia pada usia 89 tahun,

Pesara pegawai polis itu meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Timbalan KPN, Datuk Razarudin Hussain dan seluruh pasukan polis mengucapkan takziah kepada keluarga Woodworth.

"Beliau merupakan pegawai kanan polis dari bahagian Jenayah Berat Siasatan Jenayah Kuala Lumpur apabila dipilih menyertai ‘Magnificent 12’, pasukan khas yang ditubuhkan untuk memburu Botak Chin.

"Sumbangan dan pengorbanan beliau akan sentiasa dihargai. Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar bagi pasukan polis dan negara," kata Polis Diraja Malaysia dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Jenazah Woodworth dibawa ke Gereja Holy Rosary, yang mana orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir dari 9 pagi Isnin hingga 9.30 malam Selasa.

Sementara itu, Asisten Komisioner Kanan Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, Woodworth adalah wira sejati dan merupakan kehilangan besar kepada pasukan polis.

"Saya berjaya bertemu dengannya pada 2020 ketika saya menjadi OCPD (Ketua Polis Daerah) Petaling Jaya.

"Sejak pertemuan itu, saya kerap melawatnya dan selalu membelikannya thosai ketika berada di Petaling Jaya," katanya.

Walaupun saudara terdekat berada di luar negara, Nik Ezanee berkata, Woodworth memilih untuk kekal di Malaysia.

"Saya akan sentiasa ingat kata-kata beliau: Betul atau salah, Malaysia masih negara saya.

"Kata-kata dan tindakan Kenneth telah memberi inspirasi kepada saya untuk sentiasa melakukan yang terbaik. Dia seorang patriot sejati," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram