Tarian joget tradisional di pusat beli-belah Kemaman disiasat


  • Primer
  • Ahad, 01 Mei 2022

Program itu dianggap tidak menghormati bulan yang sangat mulia iaitu bulan Ramadan ini.

KERAJAAN Negeri Terengganu mengarahkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap pengurusan Mesra Mall di Kemaman, Terengganu berhubung aktiviti tarian joget tradisional melibatkan penari lelaki dan wanita yang tular pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, beliau sangat dukacita dengan perkara yang berlaku dan dimaklumkan program itu tidak mendapat kebenaran daripada MPK.

"Ia dianggap tidak menghormati bulan Ramadan. Pihak penganjur jelas melanggar Garis Panduan Hiburan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang mula diperkenalkan kerajaan negeri pada 2020.

"Saya sangat berharap perkara sebegini tidak berulang pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tular di laman sosial rakaman video berdurasi satu minit lapan saat yang memaparkan empat individu termasuk dua wanita tidak bertudung dan berpakaian tradisional sedang menari dengan ditonton pengunjung pusat beli-belah berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram