Tiket mahal konsert Aina Abdul rupanya bersebab


  • Hiburan
  • Rabu, 27 Apr 2022

Harga tiket yang ditawarkan serendah RM113.36 (Reminiscing Blue Zone) hingga RM1,246.96 (Sumpah Gold Seat).

SELEPAS kejayaan konsert A Night With Aina Abdul 1.0 yang berlangsung di Menara Ken TTDI, Petaling Jaya tahun lalu, penyanyi bersuara lunak itu kembali dengan A Night With Aina Abdul 2.0 yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 25 dan 26 Jun depan.

Difahamkan, skala konsert pada kali ini dikatakan jauh lebih besar daripada yang sebelumnya dengan harga tiket yang ditawarkan serendah RM113.36 bagi kerusi Reminiscing Blue Zon hingga RM1,246.96 (Sumpah Gold Seat).

Namun, sesetengah peminat merasakan harga tiket penyanyi itu terlalu mahal dan segelintir warganet membanding kehebatan persembahan itu dengan konsert Datuk Siti Nurhaliza serta artis antarabangsa.

“Lagu dia dah banyak ke macam lagu-lagu TokTi (Siti Nurhaliza) sampai letak harga tiket mahal? Adakah dia dah setaraf Diva No 1 Malaysia?," demikian antara komen pengguna Twitter.

Namun, berbeza dengan warganet lain, pengguna Twitter yang menggunakan nama, Intan menegaskan Aina Abdul pasti mempunyai sebab yang tersendiri yang perlu diambil kira sebelum meletakkan harga tiket sedemikian.

intan

Ciapan dari pengguna Twitter, Intan berhubung isu tiket konsert Aina Abdul.

"Dia artis solo, tanpa syarikat. Dia membawa sendiri semua pemuzik berbakat tanpa sebarang tajaan. Saya bukan peminatnya, tetapi dia sangat berbakat. Pernahkah anda melihat konsert One Night Only Adele bersama penonton? Saya rasa ia adalah konsep yang sama seperti Aina.

"Istana budaya bukan macam Stadium Bukit Jalil okay. Seat tu, kalau anda nak duduk pun kena bayar. Jangan la pula bandingkan dengan Siti Nurhaliza. Siti Nurhaliza legenda, namun Aina berbakat. Kau expect tiket akan RM300-400, baik kau tengok Yonnyboi," katanya.

Intan yang juga merupakan seorang pelajar pengurusan hiburan berkata, pendapatnya itu dinyatakan berdasarkan apa yang dia telah pelajari semasa di insitusi pengajian tinggi dan wanita itu juga banyak membuat kajian mengenai artis tanah air.

"Saya membuat banyak kajian tentang artis Malaysia, jadi kalau anda rasa pendapat saya adalah sampah, saya tidak kisah. Ditambah saya pencinta pelbagai genre. Jadi saya tahu apa yang saya katakan," jelasnya.

Meskipun ramai yang mengadu mengenai tiket konsert Aina Abdul namun menerusi hasil tinjauan Majoriti di portal Ticket2U, ketika artikel ini ditulis, tiket bagi Sumpah Gold Seat yang bernilai RM1,246.96 bertarikh 25 Jun berbaki dua kerusi sahaja lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram