Memori Tercipta taruhan Kamil Kaflee, pakcik sumber inspirasi


  • Hiburan
  • Selasa, 17 Mei 2022

Kamil Kaflee berharap dapat melebarkan lagi sayap dalam bidang nyanyian.

TAMPIL dengan lagu bertema cinta berjudul Memori Tercipta, pendatang baharu, Kamil Kaflee berharap agar peminat dapat menerima debutnya dalam industri seni selain melebarkan lagi sayapnya dalam bidang nyanyian.

Merupakan anak saudara kepada komposer Haron Ahmad, Kamil memberitahu bahawa bapa saudaranya merupakan antara pencetus kepada minatnya dalam dunia muzik.

"Minat menyanyi telah lama wujud dalam diri sejak kecil lagi, malah disokong rapat oleh keluarga terutama ayah yang juga boleh bermain alatan muzik.

"Bapa saudara juga merupakan antara orang yang banyak memberi inspirasi kepada saya untuk lebih berusaha di dalam bidang nyanyian ini," katanya kepada Majoriti.

Tambah penyanyi berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu lagi, dalam perjalanan menjadi seorang penyanyi, dia banyak menyertai pertandingan nyanyian di beberapa buah negeri dan rancangan televisyen realiti di Malaysia.

Berkongsi tentang lagu Memori Tercipta, Kamil memberitahu, karya ini diilhamkan berdasarkan kisah cinta sahabat kepada penulis lirik,Raynas.

Lagu ciptaan komposer, Haikal Azman itu juga berkisarkan tentang pasangan bercinta yang telah menjalinkan hubungan bahagia, namun semuanya berubah apabila si wanita menjalinkan hubungan bersama lelaki lain.

"Setelah diberi peluang beberapa kali, si wanita masih tidak berubah dan tidak menghargai pengorbanan si lelaki lalu wanita tersebut meminta untuk memutuskan hubungan tanpa rasa bersalah.

"Si lelaki sudah tidak berdaya lagi untuk menanggung sakitnya dikhianati berkali-kali dan terpaksa melepaskan hubungan yang sudah lama terjalin tanpa kerelaan dan memilih untuk membawa diri serta menjadikan semua kenangan tersebut sebagai sebuah memori yang tercipta," ujarnya.

Kongsinya lagi, lagu Memori Tercipta telah dilancarkan pada 13 Mei 2022 dan boleh didengar di semua platform digital muzik dan streaming.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram