Rita Nadira masih terima makian


  • Hiburan
  • Isnin, 16 Mei 2022

Rita Nadira mengakui masih menerima mesej berbaur makian di akaun media sosialnya.

"Saya terima mesej berbaur makian di akaun media sosial dan pernah dilemparkan kata-kata kesat dan hinaan seperti perempuan jalang".

Itu yang didedahkan pelakon, Rita Nadira yang memberitahu bahawa dia terpaksa menelan perkara walaupun pahit untuk diterima.

Menjelaskan mengapa situasi itu berlaku, Rita berkata, perkara itu berlaku kerana dirinya yang sering melakonkan watak antagonis.

"Memang pada mulanya saya terkejut kerana tidak menyangka akan ada orang yang sanggup nak menghina dan memaki hamun saya sebab itu hanyalah lakonan sahaja.

"Tetapi perkara itu memang berlaku dan saya sebenarnya tidak terasa pun. Lagipun saya anggap perkara itu berlaku disebabkan lakonan saya diterima di mata penonton," katanya.

1619264522542519-0

Rita Nadira memegang watak Melissa, antara watak yang dibenci penonton.

Sebagai contoh katanya, sewaktu melakonkan watak Melissa dalam drama Tam Sempurna Mencintaimu, hampir setiap hari dia menerima cacian dan cemuhan di akaun media sosialnya.

Ujarnya, bukan sahaja di ruangan komen, tetapi ada juga yang menghantar mesej berbaur makian terhadapnya sehingga ke hari ini.

"Saya bagaimanapun sejak awal lagi sudah bersedia untuk dikecam dan menjadi sasaran netizen melepaskan amarah terbuku mereka.

"Secara tidak langsung watak sebegitu menjadi batu loncatan untuk saya membina nama dan dikenali," katanya. — Majoriti