Jangan dilabel ibu bapa gagal, kenali tiga kesalahan dalam didik anak-anak


  • Sihat
  • Khamis, 12 Mei 2022

Terdapat tiga kesalahan biasa yang dilakukan oleh para ibu bapa dalam mendidik anak mereka.

MENDIDIK anak-anak adalah perkara yang sering memeningkan kepala ramai ibu bapa, mana tidaknya pasti setiap pasangan mahukan anak mereka membesar menjadi orang berjaya dan terhindar daripada sebarang masalah.

Pastinya ramai ibu bapa tidak ingin dilabel sebagai kelompok 'ibu bapa gagal' oleh masyarakat kerana dilihat anak-anak mereka bertindak seakan tidak pernah dididik secara baik oleh kedua orang tua di rumah.

Namun begitu, meskipun tidak ingin berada di dalam kelompok sedemikian, masih ramai ibu bapa yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya melakukan kesalahan dalam proses mendidik dan membesarkan anak-anak.

Menurut pakar otak dan kesihatan, Dr Rizal Abu Bakar pada laman Facebooknya, terdapat tiga kesalahan biasa yang dilakukan oleh para ibu bapa dalam mendidik anak mereka sehingga perkara itu sering dibuat tanpa sengaja.

"Bercakap atau layan anak dalam keadaan diri stres. Kajian dapati ibu yang di dalam keadaan stres sebabkan anak juga stres apabila anak di dekati. Jadi tenangkan diri di saat stres. Sentiasa belajar cara tangani stres.

"Yang kedua ialah bercakap bahasa anak kecil. Bukan bercakap bahasa yang betul. Contohnya nak makan disebut ‘nak akan’. Apabila berbahasa begini, otak anak di bahagian broca area (pusat bahasa) akan di ‘wire’ mengikut bahasa anak kecil. Bukan bahasa sebenar," katanya.

Menurutnya, jika ibu bapa bercakap dengan anak mereka menggunakan bahasa anak kecil secara berterusan ia sebenarnya membantu kanak-kanak itu fasih bertutur namun dengan fonetik tepat yang terbantut.

"Kesalahan ketiga ibu bapa ialah bercakap tanpa buka mulut. Macam kedekut nak buka mulut. Hingga bibir tidak dilihat seperti bergerak. Si kecil belajar dengan ikuti atau dalam Bahasa Inggeris disebut mimicking pergerakan bibir untuk wujudkan kefahaman. Apabila ada kefahaman bahagian otak yang bernama Wernicke Area akan aktif," tambahnya.

Menurutnya, banyak kesalahan yang kerap dilakukan oleh ibu bapa dan mereka sebenarnya perlu sentiasa belajar bagi mengelakkan diri dari terjebak melakukan perkara yang sama dalam mendidik anak-anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram