Elak gajet, makan serentak antara tips gembirakan hati ibu bapa ketika pulang beraya


  • Sihat
  • Rabu, 27 Apr 2022

Orang tua akan bahagia apabila hubungan anak-anak mereka bersama ipar duai berada dalam keadaan harmoni.

MENJELANG perayaan Aidilfitri pada minggu hadapan, sudah tentu banyak persiapan dilakukan oleh anak-anak yang tinggal berjauhan bagi menggembirakan hati ibu bapa mereka.

Pakar kesihatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, ada beberapa perkara yang boleh seseorang lakukan untuk membahagiakan orang tua mereka.

Katanya, perkara tersebut adalah mudah namun orang ramai selalu terlepas pandang. Ini termasuk dengan menghormati pandangan kedua ibu bapa mereka.

"Jika kita tak bersetuju, kita hanya perlu nyatakan pandangan kita. Tak usah kata pandangan mereka salah.

"Jika mereka ulang cerita yang pernah diceritakan dahulu, dengar dan beri perhatian seolah-olah kita pertama kali mendengar cerita itu," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Tambahnya, orang ramai juga disyorkan untuk mengelakkan diri daripada memukul atau menengking anak masing-masing di hadapan datuk atau nenek mereka.

Hal ini kerana hati orang tua adalah sensitif dan akan rasa terguris sekiranya cucu mereka diperlakukan begitu.

"Orang ramai juga dicadangkan untuk beramah mesra bersama adik-beradik dan ipar duai kerana orang tua kita bahagia bila semua orang dalam keadaan harmoni dan muhibah.

"Bila makan, ajak anak isteri makan sekali. Orang tua akan gembira kalau semua orang makan serentak. Nampak mesra dan meriah.

"Selain itu, elakkan menghadap telefon bila bersama mereka. Penuhi masa bersama dengan aktiviti yang memperbaharui jalinan kemesraan," katanya.

Malah, orang ramai juga dinasihatkan untuk menyantuni jiran dan kenalan orang tua, kerana mereka merupakan aset yang paling dibanggakan ibu bapa masing-masing.

Katanya lagi, lampin pakai buang anak juga disarankan untuk tidak dibiar berlonggok dalam bilik atau tandas kerana ibu masing-masing bersusah payah membersihkan bilik sebelum anak dan cucu mereka pulang beraya.

"Sebelum kita berangkat pulang ke rumah masing-masing nanti, bantu bawa sampah ke kawasan pengumpulan sampah.

"Sesudah sampai ke rumah, beritahu pada ibubapa yang kalian dah selamat tiba. Tak usah biarkan ibubapa risau perjalanan kita," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram