Miliki 23 haiwan 'terlarang', pengusaha kambing di Sarawak kena dakwa


HAKIM Marutin Pagan menetapkan 7 April depan untuk pengurusan kes. — The Star

SEORANG pengusaha ternakan kambing mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memiliki 23 haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Mahkamah Sesyen Sibu, Sarawak.

Tang Jung Lung, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Marutin Pagan pada Khamis dan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 1 Oktober 2019 pukul 12.15 tengah hari di ladang ternakan kambing milik keluarganya.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didapati memiliki seekor burung enggang belulang dan seekor penyu gergasi Borneo.

Ia merupakan kesalahan mengikut Seksyen 37(2)(a) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, yang membawa hukuman penjara dua tahun dan denda RM250,000 bagi setiap haiwan.

Bagi pertuduhan kedua, Jung Lung didakwa memiliki enam ekor landak, tiga ekor tupai muncung besar, dua ekor buaya air masin, dua burung jarak Bali, seekor burung jalak bukit, seekor burung parkit, seekor beruang matahari, seekor binturong, seekor beruk ekor pendek dan seekor kera ekor panjang.

Kesalahan adalah di bawah Seksyen 37(2)(b) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 bagi setiap haiwan.

Dalam pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 37(2)(c) ordinan yang sama, Jung Lung didakwa memiliki seekor burung helang Bintulu dan seekor burung merpati batu.

Jika sabit kesalahan, Jung Lung boleh dihukum penjara setahun dan denda RM2,000 bagi setiap haiwan.

Hakim Marutin Pagan menetapkan 7 April depan untuk pengurusan kes.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram