
TENGGILING Malaya (juga dikenali sebagai tenggiling Sunda atau tenggiling Jawa) menjadi tumpuan pemburu haram dan penyeludup di Sabah yang menyebabkan jumlahnya berkurangan, kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.
Pemburuan haram tenggiling (mamalia yang paling sering diperdagangkan di dunia) menyebabkan ia berkemungkinan pupus.
Sejak 2015 sehingga 2021, 330 tan tenggiling telah dirampas di Asia dan 91% (peratus) daripada jumlah keseluruhan itu adalah dari China, Vietnam, Hong Kong, Malaysia dan Singapura.
Menurut Augustine, Sabah menjadi tumpuan sindiket penyeludupan tenggiling dengan lima tangkapan melibatkan pemburuan haram haiwan itu.
"Jumlah populasi haiwan itu di negeri ini tidak dapat ditentukan kerana kita tidak mempunyai data yang tepat mengenainya.
"Statistik itu tidak menunjukkan senario sebenar melibatkan pemburu haram tenggiling kerana berdasarkan kajian, hanya 30% penjenayah yang berjaya ditangkap," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Satu-satunya negara yang mempunyai angka tepat jumlah populasi tenggiling adalah Singapura.
Menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN), Singapura adalah rumah kepada 1,068 tenggiling.
Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) pula menggesa pihak berkuasa untuk meningkatkan status haiwan itu di Sarawak kepada spesies yang dilindungi sepenuhnya awal tahun ini.
Ketua Program Pemuliharaan Sarawak, Dr Jason Hon berkata, perubahan status itu penting kerana pemerdagangan tenggiling yang semakin meningkat membahayakan populasi haiwan itu.
"Denda lebih tinggi sememangnya boleh mencegah jenayah pada masa depan, tetapi ia mesti dilakukan dengan usaha bersepadu di lapangan untuk memastikan penguatkuasaan dapat mencegah pelaku terlepas daripada cengkaman undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada 19 Januari.
Pada masa ini, tenggiling disenaraikan sebagai haiwan yang dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Negeri.
Tenggiling sering menjadi buruan untuk daging dan sisiknya yang digunakan dalam perubatan tradisional.
Walaupun sisik tenggiling dikatakan berguna untuk pelbagai rawatan termasuk meningkatkan laktasi dan mengurangkan bengkak, namun setakat ini semua kajian yang dilakukan menunjukkan tiada sebarang manfaat perubatan memakan sisik tenggiling.
Seperti tanduk badak, sisik tenggiling terbentuk daripada keratin iaitu bahan sama yang membentuk kuku manusia dan rambut.
Permintaan tinggi sisik tenggiling untuk perubatan di Asia Timur mendorong semua sub-spesies haiwan itu diambang kepupusan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram