Viral larangan azan guna pembesar suara berlaku di India — Polis


  • 112
  • Rabu, 27 Apr 2022

India mengarahkan untuk membawa keluar sistem bunyi tersebut dari masjid sebelum 3 Mei.

BUKIT AMAN sedang menyiasat seorang pengguna TikTok yang membuat hantaran provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Ia berkaitan dengan larangan azan menggunakan sistem pembesar suara di Pune, India.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, perkara itu disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan dengan niat menghasut kumpulan atau kaum.

"Kami juga menyiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna kemudahan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau turut mengesahkan kejadian itu tidak berlaku di Malaysia.

"Arahan itu dikeluarkan oleh presiden Maharashtra Navnirman Sena (MNS), Raj Thackeray.

"Beliau juga mengarahkan untuk membawa keluar sistem bunyi tersebut dari masjid sebelum 3 Mei. Ia dilaporkan dalam portal The New Indian Express pada 17 April," katanya.

Pada masa sama, Abd Jalil menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu kerana ia boleh mengganggu siasatan.

"Kita juga menasihatkan orang ramai supaya lebih bertimbang rasa dan berhati-hati dengan isu yang boleh menyentuh sensitiviti kaum dan agama," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram