TIBA sahaja hari raya, pasti ada yang akan mula meneka berapa banyak baju raya yang dimiliki Che Ta atau nama sebenarnya, Rozita Che Wan.
Malah, jika diimbas semula tahun-tahun sebelum ini, Che Ta sering mendedahkan yang dia mempunyai ratusan baju raya untuk diperagakan sempena Aidilfitri sehingga adakalanya mendapat kecaman warganet.
Tetapi, kisah Che Ta bersama ratusan bajunya seakan tidak didengari pada Aidilfitri kali ini yang dianggap paling meriah selepas dua tahun tidak dibenarkan untuk rentas negeri ekoran pandemik Covid-19.
Rupanya, Che Ta yang juga isteri kepada Zain Saidin itu mendedahkan yang dia sebenarnya sudah malas nak mendedahkan berapa pasang baju raya yang sudah disiapkannya.
Baju rona lime green jadi pilihan Che Ta dan keluarga pada raya pertama.
"Tahun ini saya tidak mahu cakap lagi berapa pasang baju raya yang saya ada. Lagipun kalau saya beritahu nanti, ada yang tak puas hati.
"Tapi kalau nak tahu juga ada berapa, tengoklah sendiri di akaun Instagram saya nanti. Dekat situ mesti ada banyak baju raya yang saya peragakan dan kiralah sendiri," katanya kepada Majoriti.
Menurut Che Ta, baju rayanya tahun lalu pun ada yang dibawa ke Aidilfitri kali ini kerana pandemik Covid-19 sebelum ini.
Ditanya mengenai raya, Che Ta berkata, walaupun negara sudah memberi sedikit kebebasan untuk beraya tahun ini, dia tetap berhati-hati dan mengamalkan norma baharu.
"Raya tahun ini saya cuma beraya dengan keluarga dan adik beradik sahaja di Alor Setar, Kedah.
"Kita tetap kena jaga diri sebab Covid-19 masih ada dan begitu juga dengan risiko dijangkiti," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram