Baru 4 hari Op Selamat 18, Kelantan dah rekod 11 kematian


  • 112
  • Rabu, 04 Mei 2022

ANTARA kemalangan maut yang berlaku di Jeli, Kelantan pada 30 April lalu.

BARU empat hari Op Selamat 18 diadakan di Kelantan, sebanyak 11 kematian telah direkodkan melalui 10 kemalangan maut yang di seluruh negeri.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, lima kematian direkodkan pada hari pertama Op Selamat 18 iaitu masing-masing dua di Bachok dan Jeli, serta satu di Kota Bharu.

"Pada hari ketiga Op Selamat 18 pula, tiga lagi kematian iaitu dua di Gua Musang dan satu di Bachok direkodkan, disusuli tiga lagi kematian pada hari keempat semalam iaitu masing-masing satu di Pasir Mas, Tanah Merah dan Gua Musang.

"Kebanyakan kes kemalangan disebabkan pemandu hilang kawalan dan gagal memotong," katanya.

Polis Kelantan sebelum ini memberitahu yang 16 lokasi kerap berlaku kemalangan akan diberikan tumpuan pada Op Selamat 18 yang dijalankan sempena Aidilfitri bermula 30 April lalu.

Lokasi berkenaan turut membabitkan kawasan berlaku kemalangan maut terutamanya di laluan utama keluar masuk kenderaan ke negeri ini.

Antara laluan berkenaan adalah Kilometer (KM) 59 hingga KM62 Jalan Gua Musang-Kuala Krai (Sungai Bayu); KM52-KM59 Jalan Gua Musang-Lojing; Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh (Kubang Kerian-Melor), Jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa (Jalan Tok Guru); Jalan Salor Baru-Pasir Mas; Jalan Binjai-Bachok; serta masing-masing dua jalan di Machang dan Pasir Mas, serta satu jalan masing-masing di daerah Kuala Krai, Tumpat, Tanah Merah, Jeli, Bachok dan Pasir Puteh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram