Kempunan raya sakan, mercun stok Aidilfitri RM83,000 dirampas di Batu Pahat


  • 112
  • Jumaat, 15 Apr 2022

Suspek yang ditahan kerana menyimpan mercun bernilai RM83,000 di Batu Pahat. — Sinar Harian

HASRAT seorang lelaki untuk mengaut keuntungan mudah menjual mercun sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini membawa padah apabila ditahan dalam satu serbuan di Batu Pahat, Johor pada Rabu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2), Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, suspek yang berusia 49 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di daerah Batu Pahat kira-kira pukul 6.30 petang, Rabu.

“Hasil maklumat orang awam, polis berjaya mengesan seorang lelaki yang disyaki menyimpan sejumlah mercun untuk dijual di pasaran tempatan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Soal siasat kemudiannya membawa kepada pemeriksaan di sebuah premis yang mana polis menemui sejumlah 63 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM83,000,” katanya dalam satu kenyataan di Batu Pahat, pada Jumaat.

Muhd Zailani berkata, kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.

“Pasukan Polis Marin akan sentiasa menjalankan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang rentas sempadan.

“Orang ramai juga diseru untuk sama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa terutamanya PPMW2 bagi membanteras sebarang bentuk jenayah terutamanya melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat maritim,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram