Zaki Yamani harap Jamal Abdillah balas mesej, angkat panggilan sebelum Aidilfitri


  • Hiburan
  • Jumaat, 29 Apr 2022

ZAKI Yamani memaklumkan bapanya masih belum membalas atau mengangkat panggilan telefonnya.

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi, seluruh umat Islam akan menyambut Aidilfitri dan menggunakan kesempatan itu untuk bermaaf-maafan.

Namun, di sebalik keterujaan untuk menyambut hari kemenangan itu, penyanyi, Zaki Yamani masih berharap bapanya dapat membalas mesej di telefon.

Zaki Yamani adalah anak kepada raja pop negara, Datuk Jamal Abdillah menerusi perkahwinannya bersama Fatimahtuzahra Samad.

Menurut Zaki, dia ada menghantar mesej kepada bapanya namun tidak dibalas dan panggilan telefon juga tidak diangkat sehingga kini.

"Kalau boleh saya nak babah balaslah Whatsapp saya. Jangan bluetick sahaja. Tapi saya tak kecil hati pun.

"Saya faham, dia seorang yang sibuk. Cuma bila ada masa nanti hubungi atau balaslah mesej saya," katanya kepada Majoriti.

zaki-yamani-jamal

Zaki Yamani bersama bapanya, Datuk Jamal Abdillah.

Awal bulan lalu, kisah antara Zaki dan Jamal menjadi tular selepas kedua-dua mereka saling bercerita mengenai satu sama lain.

Zaki sebelum itu menceritakan yang dia sudah lama tidak bertemu Jamal sebelum dibalas oleh Jamal yang mengatakan bahawa dirinya telah dihalang oleh bekas isteri untuk bertemu Zaki.

Perkara itu nyata menimbulkan rasa kurang senang pada Zaki yang memberitahu bahawa kenyataan bapanya itu tidak betul kerana dia dibenarkan untuk bertemu Jamal bila-bila masa sahaja.

Malah, pada Aidilfitri tahun lepas, ibu Zaki ada membawanya untuk meluangkan masa bersama dengan Jamal.

WhatsApp Image 2022-04-29 at 3.01.17 PM

Zaki Yamani bersama abang tirinya, Osama Yamani.

Dalam pada itu, ditanya sama ada dia akan menyanyi sepentas dengan bapanya, jelas Zaki, dia memang tidak ada masalah.

"Saya sentiasa profesional. Lagipun memang saya dan abang, Osama Yamani ada satu lagu yang dinyanyikan bersama dengannya.

"Sebenarnya saya tidak marah dia pun. Dia tak balas atau angkat panggilan pun saya tak marah. Dia bapa saya dan rasa hormat tetap kena ada.

"Cuma saya rasa kecil hati sedikit bila dia bercakap yang tidak betul mengenai ibu saya. Itu sahaja," katanya.

Selain Zaki, Jamal turut mempunyai anak lelaki bernama Osama Yamani hasil perkahwinan dengan Intan Noraina Mohd Yusof.

Pada 1 April 2017, Jamal berkahwin dengan Zai Izzati Khiruddin dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani, 2, dan Iskandar Rayyan Yamani yang baru dilahirkan Februari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram