Polis edar gambar, senarai nama 61 tahanan Rohingya masih bebas


  • 112
  • Jumaat, 29 Apr 2022

Wan Hassan (kanan) bersama pegawainya meninjau pagar sempadan ketika Lawatan Kerja ke MARTAK PGA Bukit Kayu Hitam pada Jumaat. — Astro Awani

POLIS Kedah akan mengedar gambar dan senarai nama 61 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Sungai Bakap dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya telah mengenal pasti identiti kesemua tahanan terbabit beserta wajah mereka.

"Kita akan edar nanti gambar itu. Saya telah arahkan semalam (Khamis) dari segi siasatan dan sebagainya supaya perkemas kini siasatan dan baki lagi 61 orang itu supaya gambar-gambar mereka ini kita establish-kan.

"Kita akan keluar dalam akhbar nanti supaya bila ada tangkapan bermakna tahu bahawa mereka ini pernah lari daripada pusat tahanan. Kalau kita tak keluarkan gambar itu mungkin orang lain tangkap, dia tak tahu bahawa mereka ini, pasal nama itu boleh bertukar-tukar," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas melakukan tinjauan di tiga pos kawalan sempadan dan Martak Taktikal Briged Utara PGA di sempadan Malaysia-Thailand, pada Jumaat.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya percaya berkemungkinan 61 tahanan itu sudah terlepas seperti mana yang dimaklumkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang memaklumkan tahanan itu dikesan berada di Selayang.

Dalam kejadian 20 April lalu, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan melarikan diri.

Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram