Lelaki dipenjara lima tahun, sebatan lakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak OKU


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

SEORANG lelaki berusia 31 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Sibu, Sarawak pada Jumaat atas kesalahan melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 11 tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Marutin Pagan, tertuduh pada 23 April lalu, melakukan serangan seksual terhadap gadis itu dengan menanggalkan pakaiannya, memeluknya dan menyentuh bahagian sulitnya.

Dia didapati melakukan perbuatan itu di dalam tandas sebuah syarikat kargo.

Tertuduh juga cuba merogol mangsa tetapi tidak berjaya kerana terdengar orang masuk ke tandas itu. Dia ditangkap oleh bapa saudara mangsa ketika bergegas keluar dari tandas.

Bapa mangsa mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kerana mangsa berada terlalu lama di dalam tandas.

Apabila bapa mangsa membuka pintu tandas, dia mendapati anaknya dalam keadaan bogel dan mangsa menceritakan kepada bapanya apa yang berlaku. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram