Dilantik Ketua Cawangan Parti Bersatu, Ahmad Idham bakal bertanding PRU-15?


  • Hiburan
  • Selasa, 26 Apr 2022

Pelantikan Ahmad Idham disaksikan Pengerusi Perhubungan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari (tengah) di Majlis Berbuka Puasa di pejabat Bersatu bahagian Ampang pada Sabtu lalu.

SEBELUM ini banyak yang mengatakan bahawa pelakon dan pengarah filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri terlibat dalam politik namun tiada sebarang pengesahan.

Sehinggalah baru-baru ini, Ahmad Idham mengesahkan yang dia bukan sahaja menyertai politik, tetapi telah dilantik menjadi Ketua Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pinggiran Ukay, Ampang, Selangor.

Bercerita mengenai perjalanannya dalam dunia politik, Ahmad Idham berkata, dia menyertai politik dengan menjadi ahli Bersatu sejak dia bekerja dengan kerajaan lagi sebelum ini.

"Memang ketika itu lagi saya sudah menjadi ahli dan saya bergerak daripada bawah sebenarnya. Sehinggalah saya dihubungi oleh Pengerusi Bersatu Selangor.

"Itupun sebab mereka nampak usaha saya untuk menjadikan Ampang sebagai Hab Pendidikan Khas dan banyak menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR)," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-04-26 at 2.51.54 PM

Ahmad Idham giat hadir ke sekolah dalam usahanya untuk menjadikan Ampang sebagai hub Pendidikan Khas Kanak-Kanak.

Ditanya sama ada dia akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di bawah Bersatu, jelas Ahmad Idham, perkara itu bukan di bawah keputusannya.

"Soal bertanding dalam PRU-15 bukan saya yang tentukan. Itu adalah keputusan parti. Tetapi jika ada pihak yang nampak saya bersedia, saya tiada masalah.

"Jika dipilih untuk bertanding, saya kena terima hakikat yang saya perlu bersedia.

"Lagipun saya sudah persiapkan diri dengan pendidikan, produk dan apa yang saya perjuangkan. Itu lebih penting daripada masuk politik dan harapkan dapat duit," katanya.

Menurut Ahmad Idham lagi, mengapa dia memilih untuk bersama Bersatu juga adalah disebabkan perjuangan yang selari dengan apa yang ingin dilakukan.

Jelasnya, memang benar sebagai parti baharu ada masalah sana sini tetapi perkara itu masih boleh dikawal dengan baik.

Untuk rekod, penglibatan artis dalam dunia politik bukanlah sesuatu yang baharu malah, pelakon, Dira Abu Zahar juga kini bergelar wakil rakyat selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N25- Rim pada November tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram