Siti Nurhaliza tidak fikir panjang, terus jawab 'ya' sebaik Atta Halilintar ajak kolaborasi


  • Hiburan
  • Rabu, 20 Apr 2022

Siti Nurhaliza memberitahu semua proses pembikinan single dilakukan secara jarak jauh termasuk rakaman untuk video klip.

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi bahawa dia tidak berfikir panjang apabila ditawarkan untuk berkolaborasi bersama penyanyi dari Indonesia, Atta Halilintar menerusi lagu Alhamdulillah.

Turut menyanyi bersama seorang lagi penyanyi seberang, Aurel Hermansyah yang juga isteri Atta, Siti Nurhaliza mengatakan dia sangat teruja dengan kolaborasi ini yang bukan sahaja menggabungkan dua negara, tetapi menyatukan dua generasi yang berbeza.

"Saya mengenali Atta dan Aurel sebagai ikon generasi muda di Indonesia dan mereka mempunyai pengaruh yang besar di sana, kolaborasi ini bukan hanya menyatukan jambatan dua negara tetapi juga gabungan dua generasi dalam mengukuhkan industri muzik serantau serta dakwah.

"Semasa ditawarkan oleh Atta, saya terus jawab ya, selepas itu kita terus mulakan proses rakaman sehingga akhirnya terhasil single, Alhamdulillah di bulan Ramadan ini," katanya menerusi siaran langsung Instagram sempena pelancaran single, Alhamdulillah bersama Atta dan Aurel.

Berkongsi tentang proses pembuatan lagu Alhamdulillah, Siti Nurhaliza memberitahu semuanya dilakukan secara jarak jauh termasuk rakaman untuk video klip.

Katanya yang terus jatuh cinta dengan melodi dan lirik lagu Alhamdulillah, dia melengkapkan bahagian lagunya di Kuala Lumpur manakala Atta da Aurel di Jakarta, Indonesia.

"Semasa terima lagu ini saya terus jatuh cinta, melodi dan liriknya sangat dekat dengan kita sebagai hamba ALLAH dan ia sentiasa,mengingatkan kita supaya sentiasa bersyukur.

WhatsApp Image 2022-04-19 at 5.45.48 PM

Siti Nurhaliza tampil dalam live Instagram sempena pelancaran muzik video Alhamdulillah bersama Atta dan Aurel.

"Proses pembikinan lagu ini juga, Alhamdulillah dipemudahkan meskipun dalam keadaan jarak jauh, dan target untuk lancarkan pada bulan Ramadan juga dapat dicapai," ujarnya.

Sementara itu, Atta memberitahu, dia dan Aurel begitu teruja apabila Siti Nurhaliza bersetuju untuk berkolaborasi bersama mereka.

Kata Atta, bekerjasama dengan Siti Nurhaliza adalah pengalaman yang paling istimewa memandangkan sejak kecil dia juga sering mendengar lagu penyanyi nombor satu itu semasa bersekolah rendah di Malaysia.

Dalam pada itu, bagi Aurel pula ia suatu pengalaman yang tidak boleh dilupakan terutama apabila dapat berpadu suara dengan Siti Nurhaliza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram