Peminat bikin panas, tak henti berdebat pilih vokalis Search antara Denden atau Tuah, nama Aweera pun kena petik


  • Hiburan
  • Selasa, 19 Apr 2022

Pemilihan Denden sebagai vokalis Search merupakan projek kolaborasi antara dua negara.

WALAUPUN penyanyi asal Indonesia Denden Gonjales, 38, dipilih sebagai vokalis kumpulan Search, ada pihak dikatakan tidak bersetuju dengan keputusan itu kerana beranggapan ada bakat tempatan yang lebih layak untuk mengisi kekosongan kumpulan rock itu.

Alasan itu turut menjadi sebab kepada dua penyanyi rock, Datuk Awie dan Datuk Hattan menyarankan agar juara program Mic On! 2, Tuah atau nama sebenar Mohamad Farhan Zahi Mohd Zaini, 30, menyertai anggota Search, Din dan Kid dengan menjadi vokalis.

Perkara itu turut mencetus perbahasan antara peminat di media sosial yang mana ada yang bersetuju dengan cadangan kedua-dua penyanyi otai itu dan begitu juga sebaliknya.

Pemilik akaun Facebook, Jmr Rohana berkongsi pendapat bahawa dia bersetuju dengan cadangan supaya Tuah menyertai kumpulan Search.

search komen 3

Katanya, Tuah mempunyai vokal yang bagus dan sesuai dengan kumpuan Search.

"Itu cadangan Datuk Awie, dia ada banyak pengalaman sebagai penyanyi otai rock.

"Saya setuju, kalau Tuah masuk kumpulan Search, sebab Tuah ada bakat nyanyian vokal yang terbaik, itu pun kalau Din dan Kid setuju, terpulanglah kepada mereka," katanya.

Sementara itu, pemilik akaun Ajeep Talib pula berpendapat berbeza dan menyatakan bahawa pengambilan Denden lebih sesuai buat Search terutama dalam usaha untuk mengukuhkan pengaruh di pasaran Indonesia.

search komen 2

Jelasnya, pengambilan Denden secara tidak langsung akan mempromosikan band Malaysia di sana (Indonesia).

"Baguslah, ada juga baiknya ambil Denden, vokal dia pun dah diakui di seluruh dunia, sampai dapat kebenaran untuk rakamkan semula lagu She's Gone, dari kumpulan Steelheart yang bukan satu nama kecil.

"Selepas ini akan ada lagu She's Gone versi Search dan yang paling penting adalah pasaran Indonesia, banyak artis dulu impikan lagu mereka tembus pasaran Indonesia dan ada Denden, automatik promosi band Malaysia vokal Indonesia," ujarnya.

Meskipun perbahasan vokalis Search membandingkan antara Denden dan Tuah, ada juga peminat yang mencadangkan nama Aweera untuk menjadi vokalis Search.

Perkara itu dikongsi pemilik akaun, Shaari Ismail Shaari yang tidak bersetuju dengan cara Awie mempertikaikan pemilihan vokalis Search oleh Din dan Kid.

"Suka-suka buat cadangan supaya menyertai Seacrh, adakah Din dan Kid bersetuju? Dua beradik itu tidak buta menilai bakat seseorang.

"Mengapa dipersendakan Din dan Kid mahu ambil penyanyi dari seberang (Denden), jika tengok dalam YouTube penyanyi seberang itu jauh lebih berbakat dalam bidang musik dan miliki suara yang bagus jika dibandingkan dengan Tuah.

"Hanya satu masalah susah untuk buat urusan dan latihan itu sahaja, lagi elok Din dan Kid ambil Aweera sertai Search," katanya.

search komen 1

Terdahulu, Din dan Kid memperkenalkan Denden vokalis terbaharu kumpulan Search.

Pemilihan Denden juga merupakan projek kolaborasi antara dua negara dalam langkah Search untuk mengembangkan lagi pengaruhnya di dalam dan luar negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram