Jika tuam, ubat tahan sakit tak menjadi, senaman dapat kurangkan masalah senggugut


  • Sihat
  • Ahad, 10 Apr 2022

SENAMAN berbentuk 'low intensity' seperti yoga boleh membantu mengurangkan kesakitan sewaktu haid. — Gambar hiasan

TATKALA umat Islam teruja untuk menyambut bulan Ramadan bagi menunaikan ibadah puasa, ada hari yang dikecualikan bagi kaum wanita untuk beribadah disebabkan datang bulan atau haid.

Kebiasaannya, kaum wanita dalam haid akan berdepan dengan gejala sampingan seperti senggugut iaitu nyeri di bahagian ari-ari atau perut.

Adakalanya, mereka akan berasa mual dan sakit kepala jika mengalami kesakitan melampau.

Ketidakselesaan itu menyebabkan aktiviti harian mereka terganggu, malah ada juga yang mendakwa bahawa mereka yang mengalami senggugut lebih penat atau lebih letih berbanding individu yang berpuasa.

1_x_92totgWY6KROK4WxTeDg

SENGGUGUT adakalanya mengganggu aktiviti harian wanita yang menghidapinya. — Gambar hiasan

Dr Murizah Mohd Zain berkata, sakit ketika haid atau senggugut adalah sesuatu yang sering terjadi, yang mana dianggarkan hampir 80 peratus wanita pernah mengalami perkara tersebut.

Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan (Perubatan Reproduktif) di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah itu berkata, pelbagai cara dilakukan bagi menangani senggugut termasuk tuaman, mengambil ubat penahan sakit atau berbaring sahaja.

Katanya, kebanyakan senggugut adalah fisiologi iaitu tiada punca penyakit, manakala sebahagian kecil daripadanya adalah disebabkan oleh penyakit endometriosis atau fibroid.

Jelasnya lagi, bagi senggugut yang tiada punca penyakit, ia disebabkan oleh hormon prostaglandin yang akan menyebabkan pengecutan pada rahim.

"Pengecutan ini membantu untuk pengaliran darah haid," katanya kepada Majoriti.

Justeru, Dr Murizah berkata, senaman boleh membantu mengurangkan kesakitan sewaktu haid kerana aktiviti itu membantu penghasilan hormon-hormon seperti endorphins.

Tambahnya, selain dari senaman pada waktu haid, senaman secara kerap sebanyak tiga atau empat kali seminggu juga dapat membantu mengurangkan kesakitan ketika senggugut.

"Pelbagai bentuk senaman sama ada low intensity seperti yoga atau moderate intensity seperti aerobik boleh membantu mengurangkan kesakitan sewaktu haid.

"Tetapi seandainya sakit senggugut masih berkekalan walaupun dengan ubat-ubatan atau teknik senaman dan sebagainya, pesakit dinasihat berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan juga ujian seperti ultrasound untuk memastikan tiada sebarang penyakit," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

senggugut, aktiviti harian, hormon, haid, Ramadan