Cukuplah sebagai pengacara, penyanyi dan pelakon


  • Hiburan
  • Isnin, 04 Apr 2022

ALIF Satar menganggap dunia permotoran sebagai satu hobi sahaja buat dirinya.

BERGELAR seorang pelakon, penyanyi dan pengacara dalam masa yang sama sudah cukup untuk membuktikan kemampuan Alif Satar dalam dunia seni.

Tetapi, ada juga yang melihat Alif sebagai seorang yang berpengaruh dalam dunia permotoran apatah lagi selebriti itu juga mendapat tajaan daripada Ducati Malaysia.

Namun menurut Alif, dia mengakui yang dunia permotoran adalah sekadar hobi dan tidak berhasrat untuk membuat sesuatu yang lebih seperti kerjaya baharunya.

"Memang saya agak aktif dalam dunia permotoran tetapi saya merasakan dengan usia yang menjangkau 31 tahun ini, agak terlambat sebenarnya untuk saya menceburkan diri secara serius dalam bidang tersebut.

"Saya seronok dalam dunia permotoran dan menganggap tetapi sebagai hobi sahaja. Setiap aktiviti itu saya jadikan sebagai pengalaman dalam hidup," katanya yang pernah beraksi bersama pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin.

Alif berkata demikian selepas melancarkan album baharunya berjudul The Sunnah The Better iaitu kolaborasinya bersama The Locos dan Raihan baru-baru ini.

Menerusi album tersebut, Alif & The Locos menampilkan semula lagu-lagu Raihan dengan nafas baharu bersempena bulan Ramadan.

Lima lagu yang dinyanyikan semula itu ialah Bismillah, 25 Rasul, Puji-pujian x Syukur (Medley), Assolatuwassalam, dan Rayuan Rindu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram