WALAUPUN memiliki ijazah dalam seni reka grafik, usahawan yang juga pemilik ruang majlis, D'Senar Space, Ayu Rina Razali, 36, memilih jalan berani untuk menyimpan rapi sijil pelajarannya itu dan memilih haluan berbeza sebagai kerjaya.
Kata anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu, dia membuat keputusan itu kerana minat mendalam dalam bidang keusahawanan, selain seni kreatif.
"Saya sebenarnya bermula dengan perniagaan cenderahati (door gift) dan daripada itu saya meihat ada potensi untuk bidang pengurusan majlis berkembang.
"Kemudian pada 2015, saya berkecimpung dalam perkhidmatan ruang majlis yang mana mencetuskan D'Senar Space di Sri Rampai, Selangor," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, dalam tempoh sebelum dia memutuskan untuk membuka ruang majlis, dia juga berkecimpung dalam beberapa perniagaan lain termasuk membuka penginapan inap desa (homestay).
Katanya lagi, dia turut belajar daripada orang-orang berpengalaman tentang selok-belok dunia perniagaan serta mengambil input daripada pelanggannya dari perniagaan terdahulu.
"Saya membuka D'Senar Space bukan kerana mengikut trend (2015), tetapi kerana perkhidmatan ruang majlis sudah menjadi keperluan terutama penduduk di bandar.
"Berdasarkan keperluan itu saya juga memahami apa yang pelanggan mahukan untuk sesuatu ruang majlis dan saya membuka D'Senar Space dengan pakej-pakej dan perkhidmatan yang fleksibel untuk pelanggan," ujarnya.
Seperti mana usahawan lain, Ayu Rina turut mengatakan bahawa kepuasan pelanggan merupakan cabaran utamanya dalam perniagaan ruang majlis.
Selain itu, dengan konsep D'Senar Space yang menawarkan perkhidmatan yang fleksibel, memenuhi kehendak pelanggan yang mahukan majlis serba sempurna pada harga murah juga menjadi satu cabaran.
"Pelanggan ini ada macam-macam ragam, ada yang tidak kisah dengan kos asalkan majlis nampak awesome tetapi ada juga mahu nampak mewah tapi bajet murah.
"Oleh itu ia juga menjadi satu cabaran kerana kepuasan pelanggan adalah keutamaan saya dan jika mereka berpuas hati, mereka akan kembali menyewa lagi," kongsinya.
Katanya lagi, walaupun D'Senar Space bertempat di lot rumah kedai, ruang majlis itu sesuai untuk majlis-majlis berskala kecil dan sederhana seperti sambutan hari jadi, ulang tahun perkahwinan, tunang, tahlial, bacaan doa dan sebagainya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram