'Ear piece' sendiri punca masalah tempo Yazmin Aziz


  • Hiburan
  • Khamis, 24 Mac 2022

YAZMIN tidak menyangka bahawa dapat menjejak hingga ke akhir Big Stage. — The Star

SELEPAS mendapat beberapa kritikan berkenaan masalah tempo, finalis program realiti Big Stage, Yazmin Aziz mendedahkan bahawa perkara itu berlaku kerana terdapat masalah teknikal berhubung alat pendengaran atau alat dengar (ear piece).

Katanya dia selama ini dia menggunakan alat pendengaran miliknya sendiri yang mempunyai masalah menyebabkan dia lari tempo semasa menyanyi secara langsung.

"Saya agak terkejut bila dapat komen lari tempo sebab sebelum ini saya tidak pernah ada masalah itu, bila tengok balik rupanya ada masalah pada alat dengar.

"Sehingga konsert separuh akhir, saya guna alat dengar milik produksi dan Alhamdulillah, tiada lagi masalah tempo," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, dia juga berpuas hati dengan persembahan mingu lalu yang mana lagu, Proud Mary merupakan antara single Tina Turner kesukaannya.

Menjelang final Big Stage, Yazmin memberitahu dia tidak menyangka bahawa dapat menjejak hingga ke akhir meskipun hanya bergerak sendiri dan diuruskan sepenuhnya oleh ibunya.

Turut digelar sebagai kuda hitam dalam pertandingan, Yazmin bersyukur kerana ada pihak yang sudi datang membantu dari segi rundingan imej, susunan muzik dan pakaian sepanjang pertandingan.

"Awalnya saya risau, saya tiada siapa yang urus selain ibu, tetapi lepas diterima masuk Big Stage ada beberapa individu yang tampil untuk bantu.

"Saya berterima kasih kepada mereka kerana jadi sebahagian dalam pasukan Yazmin, sekali gus memudahkan urusan saya untuk fokus kepada pertandingan," katanya.

Individu yang dimaksudkan Yazmin adalah, RD indewani Zaini (perunding imej), Dino omar (pembantu perunding), Aizril Rahman (pereka fesyen) dan Jee yang bertanggungjawab terhadap susunan muzik.

Tambahnya lagi, untuk final Big Stage, apa yang disasarkan adalah memberi persembahan terbaik buat peminat kerana baginya berada di pentas akhir merupakan satu kejayaan yang besar dalam kariernya.

Selain Yazmin, antara finalis lain yang akan berentap untuk bergelar juara Big Stage musim keempat adalah Aisha Retno, Daniel Chuer, Tegar Septian dan Elica Paujin.

Pentas akhir Big Stage akan berlangsung pada Ahad, 27 Mac 2022 pukul 9 malam dan bersiaran secara langsung di Astro Ria. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram