JIKA tiada halangan, penyanyi raggaeton, Andi Bernadee bakal melancarkan album sulungnya hujung tahun ini.
Kata jejaka berusia 30 tahun itu, dia kini dalam proses mengumpul dan menyiapkan bahan-bahan untuk album pertamanya itu.
"Saya akan memuatkan beberapa lagu lama dan baharu untuk album ini, kalau tiada halangan hujung tahun akan keluarkan.
"Masih ada beberapa lagu yang belum dirakam tetapi yang pastI beberapa lagu yang telah dilancarkan sebelum ini akan dimuatkan," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, album berkenaan akan sepenuhnya berkonsep raggaeton yang mana menjadi identiti Andi dalam industri muzik.
Jelasnya lagi, album ini juga akan dipasarkan di platform muzik dan penstriman online.
"Saya rancang untuk jual online, tetapi jika ada permintaan mungkin akan ada jualan secara fizikal dalam jumlah yang terhad.
"Buat masa ini saya ingin fokus menghabiskan bahan untuk album secepat mungkin sebelum kembali sibuk dengan aktiviti lakonan semula," ceritanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram