Beego tidak perlu cipta cerita viral, percaya rezeki masih ada


  • Hiburan
  • Ahad, 20 Mac 2022

BEEGO bersyukur kerana sampai hari ini masih dipanggil berlakon. — The Star

POPULAR dengan watak Roslan dalam siri sitkom Puteri, pelakon, Beego memberitahu dia tidak perlu mencipta berita viral semata-mata untuk kembali menjadi popular.

Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah memberitahu, walaupun popularitinya tidak seperti dulu, dia percaya rezeki masih ada untuknya bergiat aktif dalam dunia hiburan.

"Saya bersyukur kerana sampai hari ini saya masih dipanggil berlakon, keluar televisyen walaupun tanpa berita-berita viral.

"Bagi saya rezeki itu ada dan tidak perlu saya buat berita viral tetapi ia seperti 'tidak serupa bikin'." katanya kepada Majoriti.

Tambah jejaka berusia 41 tahun itu, apa yang dikecapi ketika ini sudah memadai dan tanpa kisah viral dia masih aktif dan menerima banyak tawaran berlakon.

Mengulas tentang sitkom Puteri Reunion, Beego memberitahu perasaanya bercampur baur memandangkan sudah 15 tahun siri itu menyepi selepas 13 musim.

Katanya lagi, dia gembira kerana dapat bersatu kembali dengan rakan-rakan baiknya dan pada masa sama teruja untuk membawa kembali watak Roslan.

"Saya dan pelakon lain dalam Puteri sehingga hari ini masih rapat dan untuk kembali berganding bersama-sama adalah sesuatu yang sangat mengujakan.

"Watak Roslan sudah sebati dengan diri saya dan untuk untuk membawa kembali karakter itu tidak menjadi masalah kerana selama 13 musim 'roh' itu masih ada," ujarnya.

Sitkom Puteri Reunion akan menemui penonton pada 1 Syawal depan menampilkan barisan pelakon asal siri itu dan akan bersiaran sebanyak empat episod. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram