
RAMAI peminat dikatakan cukup merindui kelibat beberapa pelakon lama francais Kampung Pisang yang tidak kelihatan dalam beberapa filem itu termasuk yang terbaharu, Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.
Perkara itu turut diakui oleh pengarah muda yang juga anak kepada Allahyarham Mamat Khalid, Amen Khalid yang mana dia memberitahu ada menerima komen sedemikian daripada peminat.
Antara watak yang dirindui peminat ialah Deris (Que Haidar), Mat Karan (Datuk AC Mizal), Usop (Usop Wilcha) dan Husin (Datuk Awie).
Menurutnya, ada sebab kenapa ada watak yang tidak kembali dalam beberapa siri selepas filem Zombie Kampung Pisang.
"Sebenarnya papa (Mamat Khalid) terpaksa menggantikan watak lama kerana ada pelakon yang tidak dapat memberi komitmen untuk filem-filem Kampung Pisang.
"Kalau boleh papa mahu kekalkan watak-watak asal dalam setiap filem tetapi memandangkan keadaan tidak mengizinkan jadi dia reka watak baharu," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, bagaimanapun bapanya tidak pernah melupakan permintaan peminat yang mahu melihat kembali watak-watak lama dalam francais Kampung Pisang.
Jelasnya, memang sudah ada dalam perancangan untuk menghasilkan siri filem Kampung Pisang yang membawa kembali pelakon-pelakon lama.
"Papa sudah lama rancang nak kumpulkan kembali pelakon lama Kampung Pisang dalam satu siri 'reunion' tetapi tidak kesampaian.
"Insya-ALLAH, saya akan meneruskan hasrat papa itu dan jika mendapat persetujuan semua pihak, projek itu akan dilaksanakan," ujarnya.
Menurutnya lagi, beliau mengajak orang ramai untuk menyaksikan filem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali yang akan mula ditayangkan di pawagam TGV terpilih bermula 18 Mac 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram