Wewinn dan Izzrin Irfan berduet dalam Rakus


  • Hiburan
  • Ahad, 13 Mac 2022

WEWINN (kiri) tidak berdepan kesukaran berduet dengan Izzrin Irfan kerana antara mereka sudah ada keserasian.

SYARIKAT Aries Music Sdn. Bhd., memperkenalkan dua bakat baharu yang juga penyanyi muda, Wewinn dan Izzrin Irfan.

Wewinn atau nama sebenarnya Nur Ezzati Syafinaz, 21, dan Muhammad Izzrin Irfan Mohd. Ismail, 22, tampil dengan buah tangan pertama menerusi agu duet, Rakus.

Menurut Wewinn, perkataan rakus itu kedengaran ‘kasar’ yang membawa maksud gelojoh tapi sebenarnya lagu duetnya dan Izzrin Irfan ini penuh dengan pengajaran.

Katanya, lagu Rakus yang berentak ‘catchy’ secara simboliknya adalah untuk memberi pesanan kepada orang ramai supaya berhati-hati semasa bercinta dan memilih pasangan.

“Lagu ini berjudul Rakus kerana kalau kita faham maksudnya ia bermaksud seorang yang gelojoh dan tamak, suka berlebih-lebih. Lagu ini kita nak tuju kepada orang yang tak cukup satu pasangan, dia nak ramai girlfriend. Kita nak nasihat pada yang bercinta tu supaya berhati-hati jangan sampai terjerat.

“Mula-mula orang tanya kenapa Rakus dan mula fikir lain. Bila lagu itu dah keluar dan dengar serta faham lirik baru mereka tahu sebenarnya lagu itu berunsur nasihat untuk berhati-hati dan bukan untuk jadi rakus,” jelas Wewinn tentang maksud yang tersirat di sebalik bait lagu tersebut.

Rakus merupakan lagu ciptaan Amzar Razqa, Adk Razqa dan Muariffah, manakala liriknya pula nukilan Adk Razqa dan Muariffah.

Tambahnya, dia suka dengan lirik Rakus yang ringkas seakan bercerita itu kerana mudah difahami.

Jelasnya, dia tidak berdepan kesukaran berduet dengan Izzrin Irfan kerana antara mereka sudah ada keserasian.

“Asalnya lagu Rakus ini untuk nyanyian solo tetapi selepas jumpa dengan komposer abang Amzar, kita orang try berdua dan rasa ngam pula untuk diduetkan. Dari situlah lagu tersebut digubah jadi lagu duet.

“Rakaman lagu Rakus dibuat dalam November 2021 dan sebulan sebelum masuk studio, kami sudah diberi lagu tersebut. Jadi bila masuk studio tak ada masalah. Sewaktu di dalam studio, abang Amzar banyak ajar kita orang dari segi vokal dan sebagainya,” ujarnya.

Video muzik Rakus sudah pun dimuat naik di saluran YouTube Aries Music sejak 16 Februari lalu dan ternyata gandingan Wewinn bersama Izzrin baik dari segi suara atau lakonan mendapat pujian ramai.

Sementara itu, Izzrin menganggap peluang berduet dengan Wewinn menerusi lagu Rakus merupakan satu bonus.

“Kami senang bekerja sama sebab dah kenal lama. Rakus juga merupakan lagu pertama yang saya rakam secara berduet. Ini satu pengalaman baharu juga bagi saya.

“Saya harap lagu Rakus ini dapat menghiburkan hati pendengar dan sekali gus memberi ingat kepada pasangan bercinta supaya berhati-hati agar tidak salah pilih,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Aries Music, Wewinn, Izzrin Irfan, rakus, duet