Yuna puas dapat bebas berkarya untuk album kelima


  • Hiburan
  • Sabtu, 12 Mac 2022

ALBUM kelima Yuna mengandungi lima lagu yang diberi singkatan Y1 hingga Y5. — Facebook

PENYANYI antarabangsa asal Malaysia, Yuna tampil dengan album kelimanya yang sepenuhnya dihasilkan sebagai artis bebas (independent).

Menurut pemilik nama Yunalis Zarai itu, penghasilan album tersebut memberikan kepuasan kepada dirinya kerana dapat mengikut kemahuan dan kreativitinya sendiri.

"Mengeluarkan projek sebagai artis bebas adalah sangat memuaskan, saya boleh membuat peraturan sendiri.

"Ia bukan satu perjalanan yang mudah namun akhirnya inilah hasil yang paling dekat dengan hati saya, album kelima saya," katanya menerusi satu ciapan di Facebook sempena pelancaran EP terbaharunya.

Tambahnya lagi, album berkenaan mengandungi lima lagu yang diberi singkatan Y1 hingga Y5 dan setiap lagu akan dilancarkan secara berasingan sebagai gimik sempena pelancaran album berkenaan.

Jelasnya, ia merupakan pendekatan yang ingin dilakukan supaya peminat dapat menikmati dan mendalami semua karya yang dihasilkan untuk buah tangan terbaharunya itu.

"Saya mahu peminat saya dapat meluangkan masa mereka dan mendengar dan menyambung ke setiap lagu, sebelum lagu seterusnya.

"Ini adalah sesuatu yang selalu saya mahu lakukan, dan dengan cara ini anda akan berasa lebih dekat dengan saya dan muzik saya," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Yuna, Y1, Y2, Y3, Y4, Y5, album, EP, pelancaran