DU hadiah Andi Bernadee buat peminat yang rindu


  • Hiburan
  • Jumaat, 11 Mac 2022

ANDI berkata proses rakaman lagu DU mengambil masa selama enam bulan.

SETELAH setahun menyepi tanpa 'buah tangan' baharu, penyanyi raggaeton, Andi Bernadee kini tampil dengan lagu terbaru, DU.

Dicipta sepenuhnya oleh komposer asal Singapura, Magic Potion, DU merupakan sebuah karya buatan khas untuk Andi kerana ia masih mengekalkan irama raggaeton yang menjadi identiti kepada jejaka berusia 30 tahun itu.

Menurut penyanyi turut popular dengan lagu Donde itu, lagu ini signifikan dengan kerinduan peminat yang mahu mendengar karya terbaharu daripadanya.

"DU adalah singkatan kepada rindu yang berkisar tentang rindu yang terbalas.

"Tetapi pada masa sama, ia juga merupakan hadiah buat peminat yang rindu untuk saya menyanyi kembali selepas setahun tanpa buah tangan baharu," katanya yang juga aktif sebagai pelakon.

Tambahnya, proses pembuatan lagu rindu juga memberi cabaran baharu kepadanya yang mana proses penghasilan lagu tersebut sepenuhnya dilakukan secara jarak jauh (Malaysia-Singapura).

Katanya kepada Majoriti, sepanjang proses rakaman, dia hanya berkomunikasi dengan komposer menerusi aplikasi permesejan Whatsapp.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya merakamkan lagu secara jarak jauh dan ia sememangnya merupakan satu cabaran yang mana banyak perkara yang boleh dipermudah jika bersemuka.

"Bagaimanapun, kami tidak ada pilihan lain selain cuba untuk mengatasi cabaran itu dan akhirnya DU dapat disempurnakan dalam masa enam bulan," ujarnya yang bakal melancarkan muzik video DU minggu hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram