Yazmin Aziz idam jadi penghibur serba boleh


  • Hiburan
  • Rabu, 09 Mac 2022

YAZMIN akan terus membuat kandungan di media sosial untuk tatapan peminat meskipun sudah bergelar artis. — The Star

UNGKAPAN, "Baby Girls, Baby Boys," cukup signifikan dengan pendatang baharu yang juga peserta Big Stage musim keempat, Yazmin Aziz.

Berdarah kacukan Melayu dan Filipina, Yazmin, 21, sememangnya meminati bidang muzik sejak kecil dan pernah menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan di dalam dan luar negara.

Namanya mula dikenali menerusi aplikasi sosial, TikTok yang mana dia sering berkongsi kandungan komedi, nyanyian dan juga berinteraksi dengan pengikut serta mengajar mereka bahasa tagalog.

Membesar di Filipina sebelum pulang ke tanah air, anak sulung daripada tiga beradik itu membertiahu dia mahu menjadi penghibur yang versatil.

"Saya mahu cuba selagi boleh, menyanyi, mengacara, berlakon dan pada masa sama masih meneruskan kandungan di media sosial.

"Minat saya terhadap bidang hiburan sangat mendalam, malah saya mahu menjadi artis yang versatil dan memberi contoh yang baik kepada masyarakat," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, dia tidak melupakan permulaan kepada penglibatannya di dunia hiburan apabila terlebih dulu menjadi seorang influencer di laman sosial.

Jelasnya lagi, meskipun sudah bergelar artis, dia akan terus membuat kandungan di sosial media untuk tatapan peminat dan pengikutnya sejak awal.

"Saya akan terus membuat kandungan dan ia masih sebahagian daripada diri saya. Tidak mungkin saya akan lupakan 'baby girls dan baby boys semua'.

"Bagi saya media sosial adalah platform paling ideal untuk saya berinteraksi dengan peminat, berkongsi aktiviti harian dan paling penting menghiburkan mereka semua," ujarnya yang juga mempunyai single berjudul Cold Rainy Days dan Soul Connection. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram