Gara-gara PKP, karya Zizi Kirana terperam setahun


  • Hiburan
  • Jumaat, 04 Mac 2022

ZIZI Kirana akui risau untuk menampilkan lagu baharu selepas Eh.

RAMAI yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini sehingga ada yang hilang mata pencarian disebabkan penutupan operasi syarikat dan sebagainya.

Selain itu, golongan seni antara yang terkesan kerana seluruh aktiviti seni terpaksa dihentikan sewaktu PKP.

Antara yang turut merasai pengalaman itu adalah penyanyi, Zizi Kirana yang terpaksa menghentikan proses rakaman lagu terbaharunya ekoran PKP.

Menurut Zizi, pembikinan lagu terbaharunya itu sudah berjalan sejak setahun yang lalu namun terpaksa ditangguhkan dan dia hanya merakamkan demo di rumahnya sahaja.

"Macam yang saya cakap disebabkan PKP pada tahun lepas kita semua tidak boleh merentas negeri sedangkan studio saya di Klang, Selangor manakala saya di Kuala Lumpur.

"Selain itu, hendak mengeluarkan lagu baharu selepas lagu Eh yang mendapat perhatian ramai sebelum ini juga satu cabaran buat saya," katanya dalam satu sidang media secara virtual pada Khamis.

Zizi berkata, tipulah jika dia tidak risau jika lagu Pijak ini gagal mencapai kejayaan yang diperoleh lagu Eh sebelum ini tetapi dia tidak mahu terus dibelenggu perkara itu.

"Saya letak penerimaan lagu Pijak kepada peminat. Jika diterima seperti lagu Eh, Alhamdulillah dan jika sebaliknya, kita teruskan berkarya seperti biasa," katanya.

Ditanya sama ada lagu ini akan bersifat 'perli' seperti lagu Eh, Zizi menegaskan bahawa niatnya adalah untuk menyampaikan nasihat kepada semua menerusi lagu

"Pendek kata, lagu ini menggambarkan sikap seseorang yang suka pijak kepala. Ini antara cara untuk saya sampaikan nasihat. Bukan, nasihat untuk orang saja, tapi untuk saya sendiri supaya tidak ambil kesempatan atas orang lain.

"Jadi kita saling menasihati antara satu sama lain dan sebab itulah ada kesinambungan antara lagu Eh dan lagu Pijak ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

hiburan, zizi kirana, penyanyi, eh, pijak, lagu