OTwo bawa nama negara ke Indonesia


  • Hiburan
  • Selasa, 08 Mac 2022

KUMPULAN OTwo kini sedang menjadi tumpuan di Indonesia.

AMAT jarang sebenarnya kita hendak melihat penggiat seni tempatan menempa nama dalam industri seni muzik di Indonesia sedangkan muzik dari seberang itu sering mendapat tempat di hati pendengar muzik tempatan.

Namun, dalam diam rupanya kumpulan OTwo sedang mengorak langkah dan kini semakin dikenali di Indonesia menerusi karya mereka berjudul Hitam. Malah, kumpulan yang dianggotai oleh tiga lelaki itu lebih dikenali di negara seberang berbanding negara sendiri.

Menurut Anep yang merupakan pemain dram OTwo, lagu baharu mereka berjudul Hitam mempunyai kekuatan dari segi penulisan lirik serta susunan lagu yang unik dan kualiti bunyian yang sangat tinggi.

"Lagu ini mendapat sambutan luar biasa di Indonesia kerana ini adalah single pertama OTwo lahirkan secara rock ballad dan eksklusif. Sebelum ini lagu-lagu OTwo juga pernah diputarkan di Indonesia akan tetapi tidak menjadi viral seperti lagu Hitam.

"Dengan hampir 40 buah radio mempromosikan secara serentak di Indonesia, ia adalah sesuatu yang sangat luar biasa bagi kami dan ini memberikan peluang yang sangat besar untuk kami membawa nama Malaysia ke negara seberang," katanya.

Untuk rekod, penerimaan di Indonesia sangat luar biasa dan kini pihak pengurusan di Indonesia sedang usahakan untuk membawa OTwo ke sana bagi promosi di televisyen serta menyertai beberapa konsert di Indonesia.

“Harapan OTwo adalah ingin bersaing secara sihat di dalam industri muzik tanahair serta membawa nama Malaysia ke beberapa buah negara.

"Dengan pengalaman yang ada, kami yakin kami mampu mewarnai industri muzik tanahair serta mengharumkan nama negara di Malaysia dan Indonesia,” tambah Izan selaku vokal grup yang ditubuhkan pada tahun 1997 ini.

Seorang lagi anggota kumpulan OTwo, Alan berkata, single akan datang juga telah siap sepenuhnya iaitu OTwo Feat Asheed Def Gab C yang bakal dilancarkan secara serentak di Malaysia dan Indonesia pada bulan Jun 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

otwo, relaks, hiburan, alan, anep, izan, indonesia, hitam