"SEJUJURNYA, saya berasa ralat atas apa yang berlaku tetapi tetap menghormati keputusan Menteri," demikian kata Datuk Seri Eizlan Yusof berhubung penamatan khidmat sebagai Perunding Kreatif di Kementerian Luar baru-baru ini.
Katanya, dia merasakan tindakan tersebut tidak 'gentleman' kerana tiada sebarang perbincangan dilakukan antara dia dan Ahmad Idham dilakukan bersama Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berhubung penamatan perkhidmatan tersebut.
"Kami menghormati keputusan Menteri walaupun kami sendiri tidak tahu apa sebabnya dan kami sendiri tiada jawapan kenapa keputusan sedemikian diambil.
"Bagaimanapun, kami akur dengan keputusan itu dan memahami bahawa keputusan untuk melantik dan menamatkan perkhidmatan terletak pada tangan Menteri," katanya kepada Majoriti.
Tambah Eizlan lagi, dia tidak kisah diberhentikan kerana selama ini dia berkhidmat secara sukarela dan tidak dibayar gaji mahupun elaun.
Jelasnya lagi, malah dia sendiri mengeluarkan modal sendiri untuk melaksanakan tugas dengan kementerian.
Sementara itu, Idham yang turut ditamatkan khidmatnya sebagai Setiausaha Kebudayaan memberitahu, sepanjang khidmatnya dia tidak menyangka bahawa kejadian seumpama itu boleh berlaku.
Kongsinya lagi, dia tidak mempunyai masalah dengan Saifuddin mahupun pihak kementerian meskipun sebelum dia dikuarantin kerana positif Covid-19 baru-baru ini.
"Sya terima surat pada 28 Februari 2022 dan surat itu bertarikh 23 Februari 2022 yang mana ketika itu saya sedang dikuarantin.
"Sebelum itu, kami masih lagi bermesyuarat bersama dan tiada sebarang bayangan bahawa akan terjadi penamatan perkhidmatan," ujarnya.
Katanya lagi, dia tidak mahu mengulas lanjut untuk menjelaskan kenapa dia diberhentikan kerana perkara itu hanya boleh jelaskan oleh Menteri berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram