Bekas KP Vaterinar didakwa terima habuan 'bela' syarikat produk tenusu


BERDASARKAN prospektus, Quaza Nizamuddin akan menerima 500,000 saham dalam Farm Fresh, selain dapat elaun sebagai pengarah sebanyak RM100,000.— The Star

KEWUJUDAN nama bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dalam senarai pengarah syarikat produk susu segar terkenal Farm Fresh didakwa berkait dengan kepentingan peribadinya semasa masih berkhidmat di jabatan itu.

Hal ini berikutan, khabarnya Quaza Nizamuddin semasa perkhidmatannya 'membela' syarikat itu dan kini menerima habuan selepas bersara.

Perkara itu disuarakan oleh pemilik akaun blog persendirian di Facebook, Bomoh Bursa (@TokMohBursa) yang juga menyatakan bahawa berdasarkan prospektus syarikat Farm Fresh, nama Quaza Nizamuddin tertera sebagai pengarah di syarikat itu.

"Tok kenal dengan Quaza Nizamuddin, semua orang boleh lakukan carian di enjin Google. Tok sudah kepilkan prospektus syarikat, dia (Quaza Nizamuddin) baru je bersara Ketua Pengarah (KP) terus dilantik jadi pengarah di Farm Fresh, berani kan?

"Tahu tak antara kuasa KP Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV) adalah beri geran, kuota import susu dan macam-macam lagi insentif daripada kerajaan dan yang Tok tahu Farm Fresh banyak dapat melalui Quaza Nizamuddin," dakwanya.

Tambahnya lagi, berdasarkan prospektus, Quaza Nizamuddin akan menerima 500,000 saham dalam Farm Fresh, selain dapat elaun sebagai pengarah sebanyak RM100,000.

Atas kemusykilan ini, Bomoh Bursa turut mempersoalkan, adakah perbuatan ini bukan rasuah dan dibenarkan oleh undang-undang serta salahguna kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

Majoriti kini cuba untuk mendapatkan Quaza Nizamuddin, Farm Fresh dan pihak SPRM untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan ini tetapi belum ada maklum balas yang diterima. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram