OKU tabah jilid buku lama lebih 40 tahun


RAHMAT mengakui proses menjilid buku tidaklah semudah yang dilihat sebaliknya memerlukan kemahiran dan kesabaran. — Bernama

"SAYA suka dan puas hati menjilid buku-buku lama ini sebab ia menyeronokkan dan dapat 'selamatkan' kandungan berharga dan bersejarah," demikian kata seorang Orang Kelainan Upaya (OKU), Rahmat Arsat, 64.

Rahmat berkata, meskipun tugas menjilid buku secara manual bukan kemahiran dipelajarinya, namun ia telah menjadi kerjaya beliau di Pertubuhan Pemulihan Kawasan Johor (Jaro) selama lebih 40 tahun.

Bagi warga emas itu, kerjaya tersebut amat sesuai buat dirinya yang cacat kaki kanan sejak lahir.

Malah menurutnya, kemahiran menjahit yang dipelajarinya semasa menyertai program kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 1976, telah memberi kelebihan kepadanya sebelum menyertai Jaro setahun selepas itu.

"Proses menjilid buku secara manual ini memerlukan fokus dan ketelitian. Nampak mudah tetapi kalau tiada kemahiran dan kesabaran, agak sukar untuk menyiapkannya kerana ia perlukan minda dan gerak tangan mesti sempurna untuk menjilid.

"Dalam pasukan menjilid buku lama ini, tugas saya adalah untuk memotong kertas-kertas kandungan buku ini serta menyusunnya dengan sama rata dan kemas.

"Seterusnya, helaian kertas ini dijahit atau dijilid menjadi senaskhah buku baharu," katanya yang telah berkhidmat di Jaro sejak berusia 19 tahun.

Beliau berkata, selain kandungan buku atau majalah lama untuk diperbaiki, dia bersama pasukan dari bengkel penjilidan turut menjilid secara manual dokumen lama yang dilakukan atas permintaan beberapa pihak seperti firma guaman dan sebagainya.

Jahit buku guna teknik lama

"Ada juga yang mahu simpan dokumen-dokumen lama sebagai rujukan mereka...dan mungkin mereka ini berasa lebih selesa apabila rujukan itu dijadikan senaskhah buku.

"Kebanyakan individu ini terdiri daripada peguam," katanya yang pernah menjilid buku berusia hampir 40 tahun.

Sementara itu, Pengurus Besar Jaro, Joseph Roy Arputham berkata, penjilidan buku lama antara perkhidmatan utama disediakan pihaknya dan keunikan organisasi itu ialah masih mengamalkan teknik lama seperti menjahit buku menggunakan benang secara manual.

"Kemudian, untuk menjadikannya lebih cantik, kulit buku itu diperbuat daripada pelbagai bahan seperti kertas dinding lusuh, membersihkan kain terpakai atau terbuang seperti songket dan kain batik," katanya.

Bercerita lanjut, beliau berkata, proses menjilid buku lama dimulakan dengan memotong kertas, diikuti menjahit helaian kertas menjadi rangka buku dan kemudian melekatkannya menggunakan gam agar lebih kukuh sebelum disatukan dengan kulit buku yang telah dicapkan tajuknya.

Mengenai Jaro yang didaftarkan sebagai pusat pemulihan dan latihan bagi OKU pada 1970, Joseph berkata pertubuhan berkenaan turut menyediakan bengkel kemahiran kraftangan, jahitan dan anyaman rotan selain penjilidan buku.

Beliau menjelaskan penubuhan badan bukan kerajaan itu bertujuan untuk melatih dan membimbing warga OKU daripada pelbagai kumpulan usia supaya mempunyai kemahiran untuk membolehkan mereka berdikari seterusnya menceburi bidang pekerjaan di tempat lain.

"Terpulang kepada mereka untuk memilih mana-mana bengkel kerana Jaro akan bantu mengasah kemahiran mereka," katanya menambah setiap hasil seni peserta Jaro akan dijual di ruang pameran pertubuhan itu yang terletak berdekatan Yayasan Warisan Johor, di Jalan Sungai Chat, Sri Gelam, Johor Bahru, Johor. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram