Star Social Impact Grant (SSIG) 2022 dibuka untuk permohonan


  • Massa
  • Selasa, 01 Mac 2022

SEJAK penubuhannya pada 2004, Star Foundation menyumbangkan sejumlah RM20.6 juta kepada lebih 360 organisasi sosial.

PANGGILAN untuk semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perusahaan sosial! Jika anda mempunyai idea projek yang berimpak tinggi untuk dikongsi, SSIG tahunan kini dibuka untuk permohonan.

Selepas pelancaran pemberian geran yang berjaya tahun lalu, Star Foundation, cabang amal Star Media Group sekali lagi menawarkan geran untuk menyokong projek sosial yang dipacu impak dan mampan bagi membantu kehidupan masyarakat tempatan serta alam sekitar menjadi lebih baik.

Pemberian geran ini adalah seiring dengan usaha berterusan Star Foundation dalam menyokong organisasi sosial yang layak untuk membawa kesan jangka panjang kepada komuniti.

NGO dan perusahaan sosial yang mempunyai idea projek berimpak tinggi dan sejajar dengan lima fokus utama Star Foundation digalakkan untuk memohon SSIG.

Fokus utama Star Foundation adalah pembangunan masyarakat; pendidikan; akses kepada keperluan asas dan infrastruktur; perlindungan alam sekitar; dan kesihatan dan kesejahteraan.

Projek-projek berkenaan boleh dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh geran diberikan. Setiap saiz geran boleh mencapai dana maksimum sehingga RM50,000, bergantung kepada tahap kerumitan sesuatu projek.

Mereka yang berminat boleh mengetahui lebih lanjut tentang geran tersebut atau menghantar kertas cadangan dan dokumen sokongan menerusi bit.ly/starsig dari 1 Mac hingga 17 April 2022.

SSIG 2022 Infographic (10 × 19 cm) (1)

Tahun lalu, empat organisasi dianugerahkan geran RM50,000 setiap satu untuk projek komuniti mereka di seluruh negara.

Projek yang dibiayai terdiri daripada latihan keusahawanan untuk komuniti miskin bandar; kaedah pertanian mampan untuk petani luar bandar; latihan vokasional bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) mental dan pemerkasaan wanita.

Sejak penubuhannya pada 2004, Star Foundation menyumbangkan sejumlah RM20.6 juta kepada lebih 360 organisasi sosial.

Star Foundation juga menjalankan Program Dana Perubatan sejak 2015 untuk membantu individu kurang bernasib baik yang menghidap penyakit kronik dengan membiayai kos rawatan dan penjagaan perubatan secara 'one-off'.

Untuk maklumat lanjut tentang usaha Star Foundation bersama komuniti, sila layari starfoundation.com.my. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram