Memelihara haiwan baik untuk kesihatan otak


  • Sihat
  • Isnin, 28 Feb 2022

PARA penyelidik mendapati bahawa dalam tempoh enam tahun, skor kognitif menurun pada kadar yang lebih perlahan dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan berbanding mereka yang tidak mempunyai haiwan peliharaan. — Agensi

MEMELIHARA haiwan peliharaan dapat memberi manfaat kepada kesihatan otak manusia, menurut satu kajian baharu yang dijalankan penyelidik di Universiti Michigan.

Para penyelidik melihat data kognitif daripada kajian sedia ada terhadap lebih daripada 1,300 orang dewasa dengan purata umur 65 tahun, yang semuanya mempunyai kemahiran kognitif normal pada permulaan kajian.

Daripada jumlah tersebut, 53 peratus memiliki haiwan peliharaan dengan 32 peratus daripada mereka mengakui sudah memelihara haiwan peliharaan sejak sekian lama, iaitu selama lima tahun atau lebih.

Para penyelidik mengukur fungsi kognitif berdasarkan ujian yang diberikan kepada peserta dalam tempoh enam tahun, termasuk pengiraan nombor, ujian kira-kira dan ujian memori.

Peserta akan menerima markah kognitif antara sifar hingga 27 berdasarkan cara mereka melakukan ujian tersebut setiap tahun.

Para penyelidik mendapati bahawa dalam tempoh enam tahun, skor kognitif menurun pada kadar yang lebih perlahan dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan berbanding mereka yang tidak mempunyai haiwan peliharaan.

Perbezaan pada penurunan kognitif adalah lebih ketara dalam kalangan pemilik haiwan peliharaan jangka panjang, iaitu lebih daripada lima tahun.

Secara purata, pemilik haiwan peliharaan jangka panjang mempunyai markah kognitif kira-kira 1.2 mata lebih tinggi berbanding peserta yang tidak mempunyai haiwan peliharaan.

Selain itu, penyelidik juga mendapati bahawa kesan kognitif manfaat memelihara haiwan adalah lebih tinggi dalam kalangan peserta kulit hitam, lelaki, dan mereka yang berpendidikan tinggi.

Lebih daripada 88 peratus peserta kajian adalah berkulit putih, 7 peratus peserta berkulit hitam, 2 peratus golongan Hispanik dan 3 peratus daripada etnik atau bangsa lain.

Salah seorang pengarang dalam kajian itu, Dr Tiffany Braley dari Pusat Perubatan Universiti Michigan di Ann Arbor, Michigan, Amerika Syarikat berkata, beliau percaya ikatan manusia dan haiwan boleh manfaat kesihatan seperti menurunkan tekanan darah dan tekanan, seterusnya memberi kesan kognitif kepada pemilik haiwan peliharaan.

"Tekanan boleh menjejaskan fungsi kognitif secara negatif. Selain itu, haiwan peliharaan juga boleh meningkatkan aktiviti fizikal, yang boleh memberi manfaat kepada kesihatan kognitif," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram